salam

Wednesday, 17 November 2010

Dajjal Bila Tiba?

Hari ini, saya ingin kongsikan sebuah video dokumentari bertajuk The Arrivals yang telah diterbitkan oleh Noreagaaa dan Achernahr.
Video ini memaparkan satu kajian mengenai kiraan tentang hari-hari Dajjal di dunia berdasarkan hadis Nabi saw mengikut teori dan kajian daripada Maulana Imran Hosein, Seorang Ulama’ dari India. Walaupun begitu, ia bukanlah boleh dipercayai dengan muktamad, dan tidak juga boleh ditentang sewenang-wenangnya melainkan jika kita punyai teori dan kajian kita sendiri untuk menunjukkan ketidak sahihan teorinya. Wallahua’lam.. Allah lebih mengetahui.
satu konklusi yang dapat dibuat ialah; adalah tidak penting samada kita boleh mempercayai teori ini ataupun tidak. Akan tetapi, apa yang lebih penting ialah, Apakah Persiapan Kita untuk Menghadapi Zaman Dajjal dan apa yang boleh kita lakukan daripada sekarang untuk mempersiapkan diri kita dan anak-anak kita daripada ditipu oleh Dajjal La’natullah. Dan apa yang boleh kita buat untuk menyelamatkan ummat hari ini daripada tipudaya Dajjal La’natullah.
Kalaupun mungkin bukan kita yang akan hidup di zaman Dajjal, mungkin anak-anak kita. Kalau pun mungkin bukan anak-anak kita, mungkin cucu cicit kita. Kita tidak tahu…kerana hanya Allah swt sahaja yang mengetahuinya. Tetapi, tugas kita adalah bersedia untuk menghadapinya.
Seandainya saya mahu bercerita tentang teori-teori dan pendapat-pendapat para ulama dan cendekiawan mengenai dajjal, ia akan mengambil masa yang sangat panjang. Maka cukuplah saya ringkaskan di sini bahawa, misi dajjal la’natullah dan tentera-tenteranya hanyalah satu: Menjauhkan manusia daripada kehidupan agama.
Jelas sekali di sini bahawa, mereka ini adalah penyokong-penyokong misi syaitan la’natullah.

‎”Iblis berkata: Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini dan aku akan menyesatkan mereka semuanya,… Kecuali hamba-hamba yang Engkau beri petunjuk di antara mereka”(Al Hijr:39&40)

Allah swt telah berfirman dalam ayat seterusnya…
“Allah berfirman: Inilah satu jalan yang lurus, yang tetap Aku memeliharanya.Sesungguhnya hamba-hambaKu, tidaklah ada bagimu sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka, kecuali sesiapa yang menurutmu dari orang-orang yang sesat (dengan pilihannya sendiri). Dan sesungguhnya Neraka Jahanam itu, tempat yang dijanjikan bagi sekalian mereka (yang menurutmu). Ia mempunyai tujuh pintu; bagi tiap-tiap sebuah pintu ada bahagian yang tertentu dari mereka (yang sesat dan menyesatkan itu)”. (Al Hijr: 41 hingga 44)
Syaitan, iblis dan dajjal la’natullah tidak ingin mencuri harta manusia. Mereka tidak ingin merampas darjat dan pangkat manusia. Mereka juga tidak mahu membunuh anak-anak manusia. Tetapi, mereka hanya mahu mencuri satu benda, ….. itulah… IMAN.
Kerana apa mereka mahu mencuri iman manusia? Kerana mereka tahu…Barangsiapa yang mempunyai iman, walaupun sebesar zarah, maka pasti dan pasti, satu hari nanti dia akan dimasukkan ke dalam syurga. Dan bagi manusia yang mempunyai kebaikan meliputi seluruh dunia tetapi tidak mempunyai iman walaupun sebesar zarah, maka dia akan tinggal di neraka buat selama-lamanya bersama dengan mereka (syaitan dan iblis la’natullah).
Diceritakan dalam hadis-hadis Nabi saw, bagaimana dajjal ini akan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menyesatkan manusia. Barangsiapa yang mengaku dajjal sebagai Tuhan, maka hidupnya akan senang. Dan barangsiapa yang tidak ingin mentaati perintah dajjal, maka hidupnya akan penuh dengan kesusahan dan kesengsaraan. Dajjal la’natullah  akan menyekat makanan untuk orang-orang yang beriman, sehingga kelaparan akan menguji iman orang-orang Islam pada waktu itu.
Maka, untuk orang-orang yang benar-benar beriman, mereka akan tetap berpegang teguh dengan keimanan kepada Allah swt. Allah swt sahaja yang berkuasa. Semua makhluk tidak ada sebarang kuasa. Orang-orang yang beriman akan sentiasa mengingatkan diri mereka dengan janji-janji Allah swt, dan mereka yakin bahawa semua janji-janji Allah swt adalah benar. Dalam keadaan susah ataupun senang, mereka hanya yakin dan beriman hanya kepada ALLAH SWT. Sedikit pun mereka tidak akan berganjak daripada pendirian mereka
Allah swt telah berjanji di dalam Al Quran;
“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah, nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.”(Surah Muhammad:7)
Inilah satu-satunya usaha yang dapat menyelamatkan kita dan ummat akhir zaman ini. Usaha untuk membela agama Allah, mengajak manusia kepada Allah swt dan mengajak manusia untuk mengamalkan kehidupan cara Rasulullah saw. Atau dengan kata lain ialah: DAKWAH.
Semua rasul sejak zaman Nabi Adam a.s lagi telah diturunkan oleh Allah swt atas maksud dakwah. Tetapi, Allah swt telah beri kemuliaan kepada umat Nabi Muhammad saw yang bukan nabi atau rasul untuk buat kerja ini (dakwah). Sebagaimana dalam firmanNya:
Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). (Al Imran:110)
Hanya dengan jalan dakwah, iman manusia akan terselamat. Iman manusia akan terpelihara sampai ke akhir hayat. Apabila kita dakwahkan kebesaran Allah swt kepada orang lain, maka, Allah swt akan berikan hidayah kepada kita. Allah swt akan tingkatkan iman kita.
Ayuh sahabat-sahabat,
Mari kita dakwahkan kebesaran Allah swt lagi dan lagi kepada pasangan kita, kepada anak-anak kita, kepada ahli keluarga kita, kepada jiran-jiran kita dan kepada semua manusia yang kita jumpai. Supaya kebesaran Allah swt masuk ke dalam hati kita. Supaya iman kita terus meningkat. Supaya keyakinan kita kepada Allah swt tidak dapat digugat lagi waima oleh dajjal la’natullah sekalipun.
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalanku dan orang-orang yang menurutkumenyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.”(Surah Yusuf:108)
Wallahua’lam

No comments: