salam

Saturday, 31 July 2010

TIPS MENDIDIK ANAK

Tips Mendidik Anak

  • Mulakanlah hidup anak anda dengan nama panggilan yang baik. Nama panggilan yang kurang baik akan menyebabkan anak anda malu dan merasa rendah diri.(Dalam Islam sendiri nama panggilan yang baik adalah digalakkan)
  • Berikan anak anda pelukan setiap hari (Kajian menunjukkan anak yang dipeluk setiap hari akan mempunyai kekuatan IQ yg lebih kuat daripada anak yang jarang dipeluk).
  • Pandanglah anak anda dengan pandangan kasih sayang (Pandangan ini akan membuatkan anak anda lebih yakin diri apabila berhadapan dengan persekitaran).
  • Berikan peneguhan setiap kali anak anda berbuat kebaikan (Berilah pujian, pelukan, ciuman, hadiah ataupun sekurang-kurangnya senyuman untuk setiap kebaikan yang dilakukannya)
  • Janganlah mengharapkan anak anda yang belum matang itu melakukan sesuatu perbuatan baik secara berterusan, mereka hanya kanak-kanak yang sedang berkembang. Perkembangan mereka membuatkan mereka ingin mengalami setiap perkara termasuklah berbuat silap.
  • Apabila anda berhadapan dengan masalah kerja dan keluarga, pilihlah keluarga (Seorang penulis menyatakan anak-anak terus membesar. Masa itu terus berlalu dan tak akan kembali).
  • Di dalam membesarkan dan mendidik anak-anak, janganlah mengeluh. Keluhan akan membuatkan anak-anak merasakan diri mereka sebagai suatu bebanan kepada ibubapa mereka.
  • Dengarlah cerita anak anda, cerita itu tak akan dapat anda dengari lagi pada masa akan datang. Tunggu giliran anda untuk bercakap. Ini akan mengajar anak anda tentang giliran untuk bercakap.
  • Tenangkan anak anda setiap kali mereka memerlukannya. Tunjukkan kepada anak anda bagaimana cara untuk menenangkan diri. Mereka akan menirunya.
  • Buatkan sedikit persediaan untuk anak-anak menyambut harijadinya. Sediakanlah hadiah harijadi yang unik walaupun harganya murah. Keunikan akan membuatkan anak anda belajar menghargai. Anak2 yg datangnya daripada persekitaran yang menghargai akan belajar menghargai orang lain.
  • Kemungkinan anak kita menerima pengajaran bukan pada kali pertama belajar. Mereka mungkin memerlukan kita mengajar mereka lebih daripada sekali.
  • Luangkanlah masa bersama anak anda diluar rumah, peganglah tangan anak-anak apabila anda berjalan dengan mereka.. Mereka tentu akan merasa kepentingan kehadiran mereka dalam kehidupan anda suami isteri.
  • Dengarlah mimpi ngeri anak-anak anda. Mimpi ngeri mereka adalah begitu real dalam dunia mereka.
  • Hargailah permainan kesayangan anak anda. Mereka juga dalam masa yang sama akan menghargai barang-barang kesayangan anda. Elakkan daripada membuang barang kesayangan mereka walaupun sudah rosak. Mintalah kebenaran mereka sebelum berbuat demikian.
  • Janganlah membiarkan anak-anak anda tidur tanpa ciuman selamat malam.
  • Terimalah yang kadangkala anda bukanlah ibubapa yang sempurna. Ini akan mengurangkan stress menjadi ibubapa.
  • Jangan selalu membawa bebanan kerja pejabat ke rumah. Anak-anak akan belajar bahawa kerja-kerja ofis selalunya lebih penting daripada keluarga.
  • Anak menangis untuk melegakan keresahan mereka, tetapi kadangkala cuma untuk sound effect sahaja. Bagaimanapun dengarilah mereka, dua puluh tahun dari sekarang anda pula yang akan menangis apabila rumah mula terasa sunyi. Anak-anak anda mula sibuk mendengar tangisan anak mereka sendiri.
  • Anak-anak juga mempunyai perasaan seperti anda. Ibarat kain yang putih, terpulanglah kepada anda untuk mencorakkannya. Semuanya di tangan anda.



Keluarga Bahagia





Assalamualaikum...


Syukur ke hadrat Illahi dengan anugerah yang tidak terhitung kita sebagai hambaNya..


Bahagiakanlah keluarga kita sebelum membahagiakan orang lain.
Kesolehan keluarga menjadi penentu bagi tegaknya sesuatu bangsa yang aman, makmur dan sejahtera.

Sebahagian dari kesempurnaan kebahagiaan di dunia adalah memiliki keluarga yang bahagia.
Ciri orang yang mencintai keluarganya adalah dia selalu bersabar dalam mendidik akhlak dan keimanan keluarganya.

Seorang yang bekerja keras untuk menunaikan tanggung jawab kepada keluarganya adalah bukti kasihnya kepada keluarganya.

Tingginya darjat suami ditentukan oleh perjuangannya menjadi pemimpin rumah tangga, sehingga dituntut menjadi teladan yang baik bagi keluarga yang dipimpinnya.

Sesungguhnya keluarga itu tempatnya yang aman dan selesa dalam berkongsi suka dan duka.
Kasih sayang yang terjalin diantara anak dan ibubapa mampu melahirkan sikap jujur dan terbuka.

Kekuatan cinta yang tulus mampu menggerakkan lisan untuk senantiasa berterima kasih kepada pasangan, anak ataupun ibubapanya.

Mencintai keluarga adalah amanah bagi setiap manusia.
Pecinta keluarga tidak akan membiarkan dalam rumahnya berlaku keburukan dan kemaksiatan.

Anak-anak lebih memerlukan contoh dan keteladanan dari kedua ibu-bapa mereka daripada celaan dan kekerasan.

Kehidupan kita akan berubah apabila dimulai dengan perubahan diri, keluarga dan persekitaran.

Mahkota orang tua adalah anak cucunya dan kehormatan anak-anak adalah kerana nenek moyang mereka.

Apabila setiap ahli keluarga saling mencintai, menyayangi, dan saling mengalah, nescaya seluruh masyarakat akan menjadi baik, aman dan damai.

Keharmonian keluarga terletak pada sikap tanggungjawab dan terbangunnya komunikasi yang sihat diantara ahli keluarga.

Komunikasi dalam keluarga akan senantiasa terpelihara selama komunikasi dengan Allah pun tetap terjaga.
Keluarga yang dekat dengan Allah akan menjadi keluarga yang layak ditolong olehNya dalam setiap urusannya.

Rasul saw bersabda, paling dekat dengan ku kedudukannya kelak pada hari kiamat adalah orang yang paling baik akhlaknya dan sebaik-baik kamu ialah yang paling baik terhadap keluarganya.

Barangsiapa bersusah payah mencari nafkah untuk keluarganya, maka dia adalah seumpama seorang mujahid dijalan Allah.

Warisan termahal dan terbaik dari diri kita untuk keluarga, keturunan, dan masyarakat adalah keindahan akhlak kita.

Allah mencintai orang-orang yang selalu berjuang memperbaiki diri, keluarga dan masyarakat.

Cintailah suami atau isteri kita dengan memuliakan ibubapa dan keluarganya.
Bagaimana kita bersikap kepada anak-anak kita, begitu pulalah mereka akan bersikap kepada kita. Maka berikan sikap yang terbaik kepada mereka
Jika Allah cinta kepada sebuah keluarga, maka salah satu cirinya ialah keluarga itu dibukakan hati untuk ilmu agama.

Kebahagiaan sesuatu keluarga bukanlah diukur dari segi mata-benda, tapi sejauh mana keta’atan keluarga kepada Allah.

Ibadah seorang ibu adalah modal bagi lahirnya anak-anak yang soleh yang akan menjadi benteng bagi ibubapanya kelak di akhirat.

Cari Ilmu & Guru

Saudara dan saudari, dalam proses membina diri dan hati, berusahalah mencari guru yang dipercayai.

Jika bibir seorang guru itu sering dihiasi bahasa kasar, 'kutukan' menjatuh, sindiran menghancur dan menghina lebih basah di lidahnya berbanding nasihat membina dan pendekatan menerang dengan tenang dan menyatu. Berhati-hatilah dirimu dalam mengambil manfaat dari guru yang sebegitu. Bimbang kelak, yang negatif darinya lebih banyak terserap ke dalam diri berbanding yang positif.

Jika sudah menemui guru yang dipercayai, berdoalah agar tidak terlihat aibnya, dan jangan pula sengaja mencari kelemahannya, ambil kebaikannya sebanyak yang mungkin, berdiskusilah dengannya dengan adab dan masuki majlisnya dengan hormat agar berkat ilmu mampu sampai dan memberikan manfaat di dunia dan akhirat.


Imam Malik Bin Anas dan Muhammad Ibn Sirin berkata :-


العلم دين فانظروا عمن تأخذون دينكم

Ertinya : Ilmu itu agama, maka telitilah dari siapa kamu ambil ilmu agamamu" (Tibyan fi adab hamla al-quran, 1/25)

Sekian


Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net

Hakikat dan Kaedah Persahabatan

Motto

الأخلاء يومئذ بعضهم لبعض عدو إلا المتقين

“(Pada hari kiamat kelak) orang yang bersahabat saling bermusuhan di antara satu sama lain, kecuali orang-orang yang bertaqwa.”

[al-Zukhruf:67]


Manusia adalah makhluk yang hidup berkumpulan dan bermasyarakat. Manusia perlu berkawan, berkenalan dan berinteraksi. Manusia tidak boleh mengasingkan diri dan bersikap seperti kera sumbang. Walaupun begitu dalam berinteraksi dan mencari kenalan, manusia yang beriman perlu mempunyai pedoman yang tertentu. Mereka perlu mengenali hakikat orang yang mereka berinteraksi dengan mereka. Mereka wajar memahami perbezaan antara apa yang dipanggil sebagai kenalan, teman, rakan atau sahabat. Jadi dengan kefahaman yang jelas tentang perbedaan perkataan-perkataan tersebut mereka boleh berinteraksi dengan cara dan etika yang betul dan sesuai.



Kenalan ialah figure yang anda kenali dalam apa jua kesempatan. Ia belum tentu boleh menjadi rakan atau sahabat. Ia adalah peringkat perkenalan pertama ; di mana manusia terdedah dengan pertemuan yang di rancanng atau tidak dirancang.


Manakala teman pula ialah mereka yang menemani anda dalam sesuatu fungsi atau acara. Ia mungkin kenalan anda atau insan yang berpotensi untuk menjadi rakan atau sahabat atau mungkin juga berpotensi menjadi musuh anda. Ia lebih merujuk kepada fungsi menemani seseorang dalam situasi tertentu.


Rakan ialah figure yang anda selalu berinteraksi dengannya samada kerana jawatan atau tempat seperti rakan sejawat, rakan setempat tinggal dan sebagainya. Lumrahnya terdapat pertemuan dan perulangan interaksi dengan nya kerana pekerjaan atau kerana lokasi dan kejiranan.


Manakala sahabat pula ialah orang yang anda mempunyai hubungan yang sangat akrab dengannya; dimana anda dapat mengharapkan pertolongannya ketika berhadapan dengan kesulitan. Sahabat adalah rakan karib yang dapat membantu anda. Sahabat mempengaruhi sikap seseorang. Sahabat mempunyai martabat yang lebih khusus dan tinggi dalam hiraki perkenalan. Sahabat adalah bagaikan cermin untuk anda dapat membetulkan kecacatan diri, penampilan rupa diri, mendapat kritikan dan teguran yang membina dan sebagainya.


Islam memang menggalakkan manusia membentuk hubungan kemanusiaan dengan orang lain dalam segala peringkat dan darjatnya. Islam menggalakkan umatnya berkenalan dan memberi salam kepada orang yang mereka kenal atau tidak kenal. Ini adalah tradisi hidup yang bertamaddun. Manusia perlu menghargai orang lain dan menampilkan penghargaan dan penghormatan antara satu sama lain kerana mereka adalah setaraf sebagai manusia dan makhluk Allah. Sahabat adalah harta dan senjata bagi seseorang.


Walaupun Islam menggalakan persahabatan dan menganggap manusia itu adalah makhluk saraan Allah yang mempunyai martabat yang sama, semuanya berasal dari Adam, namun Islam menggesa supaya umatnya berhati-hati dalam memilih sahabat. Rasulullah SAW bersabda:

عن أبي هريرة عن النبي صلى اللهم عليه وسلم قال» المرء على دين خليله فلينظر أحدكم من يخالل

“Seseorang itu dikenali berdasarkan sahabatnya, maka berwaspadalah/bersikap bijaksanalah dalam memilih sahabat.”

[Riwayat Ahmad]


Dalam al-Quran Allah berfirman yang bermaksud:

ويوم يعض الظالم على يديه يقول ياليتني اتخذت مع الرسول سبيلا(27)ياويلتي ليتني لم أتخذ فلانا خليلا( 28)لقد أضلني عنالذكر بعد إذ جاءني وكان الشيطان للإنسان خذولا(29)

“Pada hari itu orang yang zalim menggigit tangannya (jari) dengan penuh penyesalan sambil berkata alangkah baiknya kalau aku dahulu menurut ajaran Rasul Allah. Wahai alangkah baiknya kalau aku tidak menjadikan si anu sebagai sahabat karib. Ia telah menyesatkan aku dari mengingati pesanan (Allah) setelah peringatan itu datang. Memang syaitan akan melepaskan diri dari kejahatannya terhadap manusia.

[Al-Furqan: 27-29]


Rasulullah SAW bersabda:

عن أنس قال قال رسول الله صلى اللهم عليه وسلم «.... ومثل الجليس الصالح كمثل صاحب المسك إن لم يصبك منه شيء أصابك من ريحه ومثل جليس السوء كمثل صاحب الكير إن لم يصبك من سواده أصابك من دخانه »

“Bersahabat dengan orang yang soleh dan dengan orang yang jahat persis seperti berkawan dengan pengedar minyak wangi dan tukang besi (yang menghembus bara api). Pengedar minyak wangi samada ia memberi anda sebahagian atau anda membeli bau-bauan daripadanya atau sekurang-kurangnya anda mendapat juga baunya. Manakala tukang besi pula samada ia menyebabkan baju anda terbakar atau anda mendapat bau yang hapak.”

[Riwayat Abu Daud]


Rasulullah SAW bersabda lagi, bermaksud:

“Jangan bersahabat dengan orang yang durjana nanti menjangkit kedurjanaanya kepada anda. Awas dari berkawan dengan rakan/sahabat yang jahat.”

[Al-Mustadrak ala al Sahihain]

عن أبي سعيد عن النبي صلى اللهم عليه وسلم قال « لا تصاحب إلا مؤمنا ... »

"Jangan bersahabat kecuali dengan orang Mu’min."

[Riwayat Abu Daud]


Persahabatan yang kental dijalin oleh keimanan dan semangat persaudaraan yang mendalam. Persaudaraan perlu berlandaskan atas lunas-lunas berikut :-


1. Persaudaraan hendaklah semata-mata kerana Allah.


Persahabatan sewajarnya dijalin bukan atas dasar kebendaan dan kepentingan tertentu, tetapi hendaklah didasarkan kepada keimanan dan kerana Allah semata-mata. Ini adalah agar persahabatan tersebut diberkati oleh Allah.


Muslim meriwayatkan sabda Nabi SAW yang mengatakan bahawa; ada seorang lelaki menziarahi saudaranya di sebuah kampung. Allah menempatkan di tengah jalan seorang Malaikat menunggunya. Apabila orang berkenaan bertemu Malaikat itu, Malaikat pun bertanya; apakah pemergian engkau ke rumah sahabatnya itu kerana engkau hendak mendapatkan apa-apa habuan? Orang berkenaan menjawab; tidak, saya pergi kerana saya sayang padanya kerana Allah.


2. Persaudaraan hendaklah digandingi oleh iman dan taqwa.


Rasulullah SAW bersabda:

عن أبي سعيد عن النبي صلى اللهم عليه وسلم قال « ... ولا يأكل طعامك إلا تقي »

“Janganlah memakan jamuan anda melainkan orang yang bertaqwa.”

[Riwayat Abu Daud]


3. Persaudaraan hendaklah dilandaskan atas manhaj Islam.


Sesuai dengan maksud hadith yang menerangkan bahawa antara orang-orang yang akan dinaungi oleh lembayung Allah pada hari kiamat kelak ialah: dua orang yang bersahabat dan berkasih sayang semata-mata kerana Allah, bersatu kerana Allah dan berpecah kerana Allah.


4. Persaudaraan hendaklah mengamalkan dasar saling nasihat-menasihati.


Rasulullah SAW bersabda:

عن أبي هريرة عن رسول الله صلى اللهم عليه وسلم قال « المؤمن مرآة المؤمن والمؤمن أخو المؤمن يكف عليه ضيعته ويحوطه من ورائه »

“Orang Mu’min adalah ibarat cermin bagi Mu’min yang lain. Mereka bersaudara di antara satu sama lain. Memelihara harta bendanya dan melindungi kepentingannya masa ketiadaannya”

[Riwayat Abu Daud]


Jika temannya itu enggan menerima nasihat, sebaliknya terus berazam melakukan maksiat maka ia hendaklah menjauhinya. Rasulullah s.a.w. mengingatkan:

« أوثق عرى الإيمان: الموالاة في الله، والمعاداة في الله، والحب في الله، والبغض في الله »

“Ikatan iman yang paling teguh ialah setiakawan demi Allah dan berkonfrantasi demi Allah, kasih demi Allah, bencipun demi Allah.”

[Riwayat Tayalasi, Hakim, Tabarani fi al-Kabir dan al-Ausat, Ahmad, Ibn Abi Syaibah, dan Ibn. Nasr]


5. Persaudaraan hendaklah dihayati dengan semangat tolong menolong ketika senang dan susah


Rasulullah s.a.w. bersabda:

« من كان معه فضل ظهر فليعد به على من لا ظهر له ومن كان له فضل من زاد فليعد به على من لا زاد له »

“Sesiapa yang mempunyai kelebihan tunggangan maka hendaklah ia membantu memudahkan untuk orang-orang yang tidak mempunyai kenderaan. Sesiapa yang mempunyai bekalan leibih maka hendaklah ia membantu orang yang tidak mempunyai bekalan.”

[Riwayat Muslim]


Di antara cara mengukuhkan ukhuwah dan persaudaraan ialah:


1. Memberitahu saudara kita bahawa kita sayang padanya. Rasulullah s.a.w. mengingatkan dalam hadithnya:

عن المقدام بن معدي كرب وقد كان أدركه عن النبي صلى اللهم عليه وسلم قال « إذا أحب الرجل أخاه فليخبره أنه يحبه»

“Jika seseorang itu sayang pada sahabatnya maka hendaklah ia beritahu bahawa ia menyayanginya.”

[Riwayat Abu Daud]


2. Apabila kita berpisah dengannya kita mengharapkan do’a daripadanya dari jauh. Umar Ibnu al-Khattab meriwayatkan;

عن عمر رضي اللهم عنهم قال استأذنت النبي صلى اللهم عليه وسلم في العمرة فأذن لي وقال « لا تنسنا يا أخي من دعائك فقال كلمة ما يسرني أن لي بها الدنيا»

Pada suatu ketika saya memohon izin daripada Rasulullah s.a.w. untuk pergi menunaikan umrah. Baginda mengizinkan saya. Beliau berpesan “Jangan lupa mendo’akan kami wahai saudaraku.”. Saya amat berbesar hati dengan ungkapan Baginda tersebut.

[Riwayat Abu Daud]


3. Memaniskan wajah apabila bertemu: Abu Dzar meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

عن أبي ذر قال قال لي النبي صلى اللهم عليه وسلم « لا تحقرن من المعروف شيئا ولو أن تلقى أخاك بوجه طلق»

“Jangan engkau memandang kecil perbuatan yang baik, walaupun sekadar bermuka manis apabila bertemu dengan sahabat”

[Riwayat Muslim]


4. Segera menghulurkan tangan untuk berjabat apabila bertemu. Rasulullah s.a.w. bersabda:

عن البراء قال قال رسول الله صلى اللهم عليه وسلم « ما من مسلمين يلتقيان فيتصافحان إلا غفر لهما قبل أن يفترقا»

“Setiap dua orang muslim bertemu dan berjabat tangan nescaya diampunkan dosa keduanya sebelum mereka berpisah”

[Riwayat Abu Daud]


5. Kerap melakukan ziarah dari semasa ke semasa. Rasulullah s.a.w. bersabda: Allah s.w.t. berfirman:

عن النبي صلى اللهم عليه وسلم يرفعه إلى الرب عز وجل قال « حقت محبتي للمتحابين في وحقت محبتي للمتزاورين في وحقت محبتي للمتباذلين في وحقت محبتي للمتواصلين في»

“Orang yang berkasih sayang kerana Allah, orang yang saling berziarah kerana Aku (Allah), orang yang saling berbelanja membelanja kerana Aku(Allah), orang yang saling berhubungan kerana Aku(Allah), mereka semua berhak mendapat kasih sayangKu (Allah)”

[Riwayat Ahmad]


6. Mengajukan ucap selamat, tahniah dan menyukakan hatinya dalam kesempatan dan hari-hari tertentu seperti ketika mendapat anak:

بورك لك بالموهوب وشكرت الواهب ورزقك بره وبلغ أشده

“Semoga Allah memberkati anda dengan kelahiran anak ini. Semoga anda bersyukur terhadap kurniaan Allah, mudah-mudahan anda dikurniakan kebaikan setelah ianya membesar.”

[Diriwayatkan daripada Hussein Saidina Ali]


Ketika kembali daripada perjalanan yang jauh;

الحمد لله الذي سلمك وجمع الشمل بك وأكرمك

“Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan anda dalam perjalanan, mempertemukan saya dengan anda serta telah memuliakan anda dengan perjalanan tersebut”

[Diriwayatkan daripada Para Leluhur Silam; Salaf]


Ketika pulang dari medan jihad:

الحمد لله الذي نصرك وأعزك وأكرمك

“Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kepadamu kejayaan, kemuliaan dan pengorbanan”

[Riwayat Muslim, Nas’I daripada A’isyah]


Ketika pulang dari menunaikan Haji;

تقبل الله حجك وغفر ذنبك وأخلف نفقتك

“Semoga Allah menerima ibadah hajimu, mengampunkan dosamu, serta menggantikan semula harta yang telah anda belanjakan”

[Riwayat Ibnu Sunni daripada Ibnu Umar]


7. Menampilkan hadiah dalam kesempatan tertentu apabila perlu

عليك بالهدايا فإنها تورث المودة وتذهب الضغائن

Ad-Dailami meriwayatkan daripada Anas r.a.; Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud; “Kerapkanlah memberi hadiah kerana ia boleh meneguhkan kasih sayang dan menghilangkan persanggitan hati”

[Riwayat Thabrani]


Dalam hadith yang lain Baginda bersabda:

تهادوا تحابوا

“Hendaklah kalian saling memberi hadiah, kelak kalian akan lebih mesra dan kasih”

[Riwayat Malik]


8. Bersikap prihatin dan suka menunaikan hajat serta keperluan sahabat.


9. Menyempurnakan segala hak-hak ukhuwwah dengan sempurna.


Persaudaraan dalam Islam menuntut hak-hak tertentu. Rasulullah s.a.w. menerangkan:

للمؤمن على المؤمن سبعة حقوق واجبة من الله وجل، الإجلال له في عينه، والود له في صدره، والمواساة له في ماله، وأن يحرم غيبته، وأن يعوده في مرضه، وأن يشيع جنازته، وأن لا يقول فيه بعد موته إلا خيرا عز

“Tiap orang Mu’min telah diwajibkan oleh Allah mendapat tujuh hak daripada orang mu’min yang lain: iaitu memandangnya dengan penuh penghargaan, menyimpan perasaan mesra dalam hati terhadapnya, menghulurkan simpati dengan harta sendiri, mengharamkan perbuatan mengumpat terhadapnya, menziarahinya ketika sakit, mengiringi jenazahnya (apabila meninggal dunia) dan tidak menyebut tentangnya kecuali yang baik sahaja sepeninggalannya”

[Riwayat Ibnu Babawaih]


Oleh : Ustaz Abdul Ghani Samsudin

Nasihat dari Dorothy Law Notle:

"Sekiranya seorang anak hidup dalam kritikan, ia akan belajar menghukum. Sekiranya seorang anak hidup dengan permusuhan, ia akan belajar kekerasan. Sekiranya seorang anak belajar hidup dengan ejekan, dia belajar menjadi malu. Sekiranya seorang anak hidup dengan perasaan malu, dia belajar berasa bersalah. Sekiranya seorang anak hidup dengan dorongan, dia belajar mempercayai dirinya. Sekiranya seorang anak hidup dengan keadilan, dia belajar menjalankan keadilan. Sekiranya seorang anak hidup dalam ketenteraman, ia belajar mengenai keimanan. Sekiranya seorang anak hidup dengan sokongan, dia belajar menyukai dirinya sendiri. Sekiranya seorang anak hidup dengan penerimaan serta persahabatan, dia belajar untuk mencintai dunia."

Dipetik dari: Setengah Berisi Setengah Kosong, Parlindungan Marpaung

Thursday, 29 July 2010

Nasiihat Anak

Assalamualaikum

Luangkanlah masa walaupun hanya 15 sehari utk menasihati anak2 kita dan katakan pdanya, "Allah sgt sayang pd orang yg bersyukur & tidak sombong. Walaupun kita dpt markah yg bagus kita tak boleh sombong dgn kwn2 yg rendah markahnya..kita kena bg semangat pd kwn2 supaya lebih rajin belajar & kita ajar la kwn2 kita yg kurang pandai tu...kita tak boleh kedekut ilmu..biar kita sama2 berjaya dgn kwn2. Kalau kita bantu kwn2 ajarkan apa yg kwn tak faham, Allah akan bg pahala yg banyak kat kita & kita akan lebih berjaya." Insyaallah, didiklah anak2 kita ke jalan yg benar dan sentiasalah berdoa semoga dia dijadikan anak yg soleh oleh Allah s.w.t

Komunikasi Dengan Anak

Apabila berkomunikasi dengan anak, perlu dijaga keseimbangan antara:
1. Bercakap (The way we talk)
2. Mendengar (The way we listen)


Kebiasaan ibubapa ketika bercakap dengan anak:-
1. sentiasa menyalahkan anak (Blaming)
2. mengadili atau menghukum (Judging)
3. asyik mencerita kisah dulu-dulu…"ayah dulu…." (Historizing)
4. merasa diri paling tahu untuk memberi nasihat (Advising)
5. memaksa anak mengikut kehendak ibubapa (Imposing)


Kebiasaan ibubapa ketika mendengar:-
1. mengabaikan, tidak menganggap penting (Ignoring)
2. berpura pura mendengar (Pretending)
3. hanya mendengarkan apa yang ingin didengar (Selected listening)
4. mengabaikan perasaan anak (Invalidating)
5. lebih fokus kepada apa yang akan dibicarakan (Self centered listening)



Menurut survey yang dibuat oleh Institute For Youth Development, masalah terbesar ibubapa adalah tidak berkemampuan untuk berkomunikasi dengan baik dengan anaknya. Kemahiran komunikasisebaiknya diperbaiki sebelum anak berusia 19 tahun.


Kedua ibu dan bapa jangan saling menyalahkan sesama sendiri di hadapan anak ketika anak berbuat salah. Sikap berpihak atau menyebelahi anak samada ayah atau ibu akan menggalakkan anak untuk mencari pembelaan kepada pihak yang menyebelahinya.Ibubapa hendaklah menahan diri dari cepat menyalahkan anak sebaliknya mendengar dengan teliti apa yang akan diperkatakan oleh anak.


Anak lebih suka berterus terang dengan teman sebaya daripada ibubapanya karena teman biasanya lebih memahami dan lebih mendengar keluhannya sehingga dia merasa lebih senang dan selesa. Ibubapa perlu cuba memahami jiwa anak-anak supaya anak-anak tidak segan silu untuk 'open up' segala masalah yang mereka hadapi.


Ibubapa jangan terlampau mudah menyerah (never give up !). Tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan dengan baik. Jika ternyata masalah itu berpunca dari ibubapa, jangan ada perasaan malu untuk mengaku di hadapan anak-anak. Tiada manusia yang tidak pernah membuat kesilapan sekalipun kita sebagai ibubapa.


Menghargai dan menghormati anak-anak akan memotivasi anak ke arah yang lebih baik. Bagi ibubapa yang bersikap dominant, hentikan segera sikap bossy, asyik mengarah itu dan ini sebaliknya memberi galakan kepada anak-anak dengan sopan.

Renungan tentang Bulan Ramadhan oleh Imam As-Syahid Hassan Al-Banna

Kita panjatkan puji syukur ke hadirat Allah swt. Kita ucapkan selawat dan salam untuk junjungan kita Nabi Muhammad, juga untuk segenap keluarga dan sahabatnya, serta siapa sahaja yang menghidupkan & meneruskan perjuangan dakwahnya hingga hari kiamat.


Saudara & saudari yang mulia. Saya sampaikan salam penghormatan Islam, salam penghormatan dari sisi Allah, assalamu ‘alaikum wa rahmatullah wa barakatuh.


Pada malam ini, yang merupakan akhir bulan Sya’ban, kita hentikan slot kajian kita tentang Al-Qur’anul Karim, tentang kitab Allah swt. Insya Allah, pada sepuluh malam yang pertama bulan Syawal, kita kembali kepada tema tersebut. Setelah itu kita akan membuka slot baru dari ceramah-ceramah Ikhwan, yang temanya insya Allah: Kajian-Kajian tentang Sirah Nabi dan Tarikh Islam.

Ramadhan adalah bulan ruhi, serta saat untuk menghadapkan diri kepada Allah. Sejauh yang saya ingat, ketika bulan Ramadhan menjelang, sebagian Salafus-soleh mengucapkan selamat tinggal sesame mereka & bertemu semula ketika solat hari raya. Kerena mereka rasakan ini adalah bulan untuk menggandakan ibadah, bulan untuk melaksanakan puasa dan qiyam dan kami ingin menyendiri hanya dengan Tuhan kami.


Saudara & saudari sekalian, sebenarnya saya berupaya untuk mencari kesempatan untuk meneruskan pengajian Selasa ini pada bulan Ramadhan, tetapi saya tidak mendapatkan waktu yang sesuai. Jika sebagian besar waktu selama setahun telah digunakan untuk mengadakan kajian-kajian tentang Al-Qur’an, maka saya ingin agar waktu yang ada di bulan Ramadhan ini kita gunakan untuk melaksanakan hasil dari kajian-kajian tersebut. Apatahlagi, ramai di antara kita yang melaksanakan solat tarawih dan memanjangkannya, serta mengejar & mengambil pelunag untuk mengkhatamkan Al-Qur’an di bulan Ramadhan. Ini merupakan cara mengkhatamkan yang indah. Jibril biasa membacakan dan mendengarkan bacaan Al-Qur’an dari Nabi saw. Sekali dalam setahun.


Nabi saw. mempunyai sifat dermawan, dan sifat dermawan beliau ini paling menonjol terlihat pada bulan Ramadhan ketika Jibril membacakan dan mendengarkan bacaan Al-Qur’an beliau. Beliau lebih dermawan dan pemurah dibandingkan dengan angin yang ditiupkan. Kebiasaan membacakan dan mendengarkan bacaan Al-Qur’an ini terus berlangsung sampai pada tahun ketika Rasulullah saw dipanggil menghadap kepada Ar-afiq Al-A’la (Allah swt.), maka ketika itu Jibril membacakan dan mendengarkan bacaan Al-Qur’an beliau dua kali. Ini merupakan isyarat bagi Nabi saw. bahwa tahun ini merupakan tahun terakhir beliau hidup di dunia.


Saudara & saudari sekalian, Ramadhan adalah bulan Al-Qur’an. Rasulullah saw. pernah bersabda mengenainya, “Puasa dan Al-Qur’an itu akan memberikan syafaat kepada hamba di hari kiamat. Puasa akan berkata, ‘Ya Rabbi, aku telah menghalangi- nya dari makan dan syahwat, maka perkenankanlah aku memberikan syafa‘at untuknya.’ Sedangkan Al-Qur’an akan berkata, ‘Ya Rabbi, aku telah menghalanginya dan tidur di malam hari, maka perkenankan aku memberikan syafa’at untuknya. ‘Maka Allah memperkenankan keduanya memberikan syafaat. ” (HR. Imam Ahmad dan Ath Thabrani)


Wahai saudara & saudari, dalam diri saya terdetik satu pemikiran yang ingin saya bicarakan. Kerana kita berada di pintu masuk bulan Puasa, maka hendaklah pembicaraan dan renungan kita berkaitan dengan tema bulan Ramadhan.


Saudara & saudari sekalian, kita telah berbicara panjang lebar tentang sentuhan perasaan cinta dan persaudaraan yang dengannya Allah telah menyatukan hati kita, yang salah satu kesannya yang paling terasa adalah wujudnya pertemuan ini kerana Allah. Bila kita tidak akan berjumpa dalam satu tempoh masa, maka bukan bererti bara perasaan ini harus padam atau hilang. Kita tidak mesti melupakan prinsip-prinsip luhur tentang kemuliaan dan persaudaraan kerana Allah, yang telah dibangun oleh hati dan perasaan kita dalam majlis yang baik ini. Sebaliknya, saya yakin bahwa ia akan tetap menyala dalam jiwa sampai kita biasa berjumpa kembali setelah masa percutian ini (kuliah selasa malam yang biasa Hassan al Banna sampaikan di’cutikan’ sempena meraikan ramadhan), insyaAllah. Jika ada salah seorang dari Anda melaksanakan solat pada malam Rabu, maka saya berharap agar ia mendoakan kebaikan untuk ikhwannya. Jangan Anda lupakan ini! Kemudian saya ingin Anda selalu ingat bahwa jika hati kita merasa dahaga akan perjumpaan ini selama minggu-minggu tersebut, maka saya ingin Anda semua tahu bahwa dahaganya itu akan dipuaskan oleh mata air yang lebih utama, lebih lengkap, dan lebih tinggi, iaitu hubungan dengan Allah swt., yang merupakan cita-cita terbaik seorang mukmin bagi dirinya, di dunia maupun akhirat.


Kerana itu, saudara & saudari sekalian, hendaklah Anda semua berusaha agar hati Anda menyatu dengan Allah swt. Pada malam-malam bulan mulia ini. Sesungguhnya puasa adalah ibadah yang dikhususkan oleh Allah swt. bagi diri-Nya sendiri. “Semua amalan anak Adam adalah untuknya, kecuali puasa. la untuk-Ku dan Aku akan memberikan balasannya.”


Ini mengisyaratkan bahwa setiap amal yang dilaksanakan oleh manusia mengandung manfaat lahiriah yang bisa dilihat, dan di dalamnya terkandung semacam bagian untuk diri kita. Kadang-kadang jiwa seseorang terbiasa dengan solat, sehingga ia ingin melaksanakan banyak solat sebagai hak bagi dirinya. Kadang-kadang ia terbiasa dengan zikir, sehingga ia ingin banyak berdzikir kepada Allah sebagai hak bagi dirinya. Kadang-kadang ia terbiasa dengan menangis kerana takut kepada Allah, maka ia ingin banyak rnenangis kerana Allah sebagai memberi hak bagi dirinya. Adapun puasa, dalamnya tidak terkandung apa pun selain larangan. Ia harus melepaskan diri dari bermacam keinginan terhadap apa yang menjadi bagian dirinya. Bila kita terhalang untuk berjumpa satu sama lain, maka kita akan banyak masa kerana bermunajat kepada Allah swt. Dan berdiri di hadapan-Nya, khusus-nya ketika melaksanakan solat tarawih.


Saudara& saudari sekalian, hendaklah sentiasa ingat bahwa Anda semua berpuasa kerana melaksanakan perintah Allah swt. Maka berusahalah sungguh-sungguh untuk beserta dengan Tuhan Anda dengan hati Anda pada bulan mulia ini. Ramadhan adalah bulan keutamaan. Ia mempunyai kedudukan yang agung di sisi Allah swt. Hal ini telah dinyatakan dalam kitab-Nya, “(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Qur’an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelas an mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang haq dan yang batil).” (Al-Baqarah: 185)


Saudara & saudari, pada akhir ayat ini Anda mendapati: “Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.” (Al-Baqarah: 185)


Dengan penyempurnaan puasa ini, Allah swt. akan memberikan hidayah kepada hamba-Nya. Jika Allah memberikan taufiq kepada Anda untuk menyempurnakan ibadah puasa ini dalam rangka mentaati Allah, maka ia adalah hidayah dan hadiah yang patut disyukuri. “Dan hendaklah kalian mencukupkan bilangannya dan hendaklah kalian mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepada kalian, supaya kalian bersyukur.” (Al-Baqarah: 185)


Kemudian, lihatlah kesan dari semua ini. “Dan apabila hamba-hamba- Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah) bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang mendoa apabila ia berdoa kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Al-Baqarah; 186)


Saudara & saudari, di sini Anda melihat bahwa Allah Yang Maha Benar meletakkan ayat ini di tempat ini untuk menunjukkan bahwa Dia swt. paling dekat kepada hamba-Nya adalah pada bulan mulia ini. Allah swt. telah menjadikan bulan Ramadhan sebagai bulan yang sangat istimewa. Mengenai hal ini terdapat beberapa ayat dan hadits. Nabi saw. bersabda, “Jika bulan Ramadhan datang, pintu-pintu surga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup, syaitan-syaitan akan dibelenggu, kemudian datang seorang penyeru dari sisi Allah Yang Mahabenar swt “Wahai pencari kejahatan, berhentilah! Dan wahai pencari kebaikan, kemarilah!”


Saudara & saudari, pintu-pintu surga dibuka, kerana manusia berlumba-lumba melaksanakan ketaatan, ibadah, dan taubat. Syaitan-syaitan dibelenggu, kerana manusia akan beralih kepada kebaikan, sehingga syaitan tidak mampu berbuat apa-apa. Hari-hari dan malam-malam Ramadhan, merupakan masa-masa kemuliaan yang diberikan oleh Al-Haq swt., agar orang-orang yang berbuat baik menambah kebaikannya dan orang-orang yang berbuat jahat mencari karnia Allah swt. sehingga Allah mengampuni mereka dan menjadikan mereka hamba-hamba yang dicintai dan didekatkan kepada Allah.


Keutamaan dan keistimewaan paling besar bulan ini adalah bahwa Allah swt. telah memilihnya menjadi waktu turunnya Al-Qur’an. Inilah keistimewaan yang dimiliki oleh bulan Ramadhan. Kerana itu, Allah swt. menyebutkannya dalam kitab-Nya.” (Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Qur’an.” (Al-Baqarah: 185)


Ada kaitan antara turunnya Al-Qur’an dengan bulan Ramadhan. Kerana puasa ertinya menahan diri dari hawa nafsu dan syahwat. Ini merupakan kemenangan hakiki dalam diri manusia. Ini bererti bahwa jiwa, ruh, dan pemikiran manusia pada bulan Ramadhan akan menghindari tuntutan-tuntutan jasmani. Dalam keadaan seperti ini, ruh manusia berada di puncak kejernihannya, kerana ia tidak disibukkan oleh syahwat dan hawa nafsu. Ketika itu ia dalam keadaan paling siap untuk memahami dan menerima ilmu dari Allah swt. Kerana itu, bagi Allah, membaca Al-Qur’an merupakan Ibadah paling utama pada bulan Ramadhan yang mulia.


Pada kesempatan ini, saya akan meringkaskan untuk Anda semua pandangan-pandangan saya tentang kitab Allah swt., dalam kalimat-kalimat ringkas.


Saudara & saudari yang mulia, tujuan-tujuan asasi dalam kitab Allah swt. dan prinsip-prinsip utama yang menjadi landasan bagi petunjuk Al-Qur’an ada empat:


1. Perbaiki Aqidah

Anda mendapati bahwa Al-Qur’anul Karim banyak menjelaskan masalah aqidah dan menarik perhatian kepada apa yang seharusnya tertanam sungguh-sungguh di dalam jiwa seorang mukmin, agar ia mampu mengambil manfaatnya di dunia dan di akhirat. Keyakinan bahawa Allah swt. adalah Yang Maha Esa, Yang Mahakuasa, Yang menyandang seluruh sifat kesempurnaan dan bersih dari seluruh kekurangan. Kemudian keyakinan kepada hari akhirat, agar setiap jiwa dihisab tentang apa sahaja yang telah dikerjakan dan ditinggalkannya. Jika kita menamati ayat-ayat mengenai aqidah dalam Al-Qur’an, nescaya kita mendapati bahawa keseluruhannya mencapai lebih dari sepertiga Al-Qur’an. Allah swt. berfirman dalam surat Al-Baqarah,

“Hai manusia, beribadahlah kepada Rabb kalian Yang telah menciptakan kalian dan orang-orang yang sebelum kalian, agar kalian bertaqwa. Dialah Yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagi kalian dan langit sebagai atap, dan Dia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu Dia menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan sebagai rezeki untuk kalian; kerana itu janganlah kalian mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah padahal kalian mengetahui.” (Al-Baqarah: 21-22)


Allah swt. juga berfirman dalam surat Al-Mukminun,

“Katakanlah, Kepunyaan siapa-kah bumi ini, dan semua yang ada padanya, jika kalian mengetahui?’ Mereka akan menjawab, ‘Kepunyaan Allah.’ Katakanlah, ‘Maka apakah kalian tidak ingat?’ Katakanlah, ‘Siapakah Yang Empunya langit yang tujuh dan Yang Empunya ‘Arsy yang besar?’ Mereka akan menjawab, ‘Kepunyaan Allah.’ Katakanlah, ‘Maka apakah kalian tidak bertaqwa?’ Katakanlah, ‘Siapakah yang di tangan-Nya berada kekuasaan atas segala sesuatu sedang Dia melindungi, tetapi tidak ada yang dapat dilindungi dari (adzab)-Nya, jika kalian mengetahui?’ Mereka akan menjawab, ‘Kepunyaan Allah.’ Katakanlah, ‘(Kalau demikian), maka dari jalan manakah kalian ditipu?’ Sebenar-nya Kami telah membawa kebenaran kepada mereka, dan sesungguhnya mereka benar-benar orang yang berdusta.” (Al-Mukminun: 84-90)


Allah swt. juga berfirman “Apabila sangkakala ditiup maka tidaklah ada lagi pertalian nasab di antara mereka pada hari itu dan tidak pula mereka saling bertanya. Barangsiapa yang berat timbangan (kebaikannya) maka mereka itulah orang-orang yang dapat keberuntungan. Dan barangsiapa yang ringan timbangan (kebaikannya) , maka mereka itulah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri, mereka kekal di dalam neraka Jahanam.” (Al-Mukminun: 101-103)


Allah swt. juga berfirman,

“Apabila bumi diguncangkan dengan guncangan yang dahsyat. Dan bumi telah mengeluarkan beban-beban berat (yang dikandung)nya. Dan manusia bertanya, ‘Mengapa bumi (jadi begini)?’ Pada hari itu bumi menceritakan beritanya. Kerana sesungguhnya Tuhanmu telah memerintahkan (yang demikian itu) kepadanya. Pada hari itu manusia keluar dari kuburnya dalam keadaan yang bermacam-macam, supaya diperlihatkan kepada mereka (balasan) pekerjaan mereka. Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat dzarrah pun, niscaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat dzarrah pun, niscaya dia akan melihat (balasan)nya pula.” (Az-Zalzalah: 1-8)


Allah swt. Berfirman lagi,

“Hari Kiamat. Apakah hari Kiamat itu? Tahukah kalian apakah hari Kiamat itu?” (Al-Qari’ah: 1-3) Dalam surat lain Allah berfirman, “Bermegah-megahan telah melalaikan kalian. Sampai kalian masuk ke dalam kubur. Janganlah begitu, kelak kalian akan mengetahui (akibat perbuatan kalian itu). Dan janganlah begitu, kelak kalian akan mengetahui.” (At-Takatsur: 1-4)


Saudara & saudari, ayat-ayat ini menjelaskan hari akhirat dengan pen-jelasan yang jitu yang mampu mengetuk dan melembutkan hati yang keras.


2. Pengaturan Ibadah


Anda juga membaca firman Allah swt. mengenai ibadah. “Dan dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat.” (Al-Baqarah: 43) “…diwajib-kan atas kalian berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian.” (Al-Baqarah: 183) “…mengerjakan haji adalah kewa-jiban manusia terhadap Allah, yaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah.” (Ali-Imran: 97) Maka aku katakan kepada mereka, “Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun.” (Nuh: 10) Dan banyak lagi ayat-ayat lain mengenai ibadah.


3. Pengaturan Akhlak


Mengenai pengaturan akhlak, Anda biasa membaca firman Allah swt.

“Dan demi jiwa serta penyempurnaan (ciptaan)-nya. Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketaqwaannya.” (Asy-Syams: 7-8)

“…Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan suatu kaum, sehingga mereka mengubah keadaan yang ada dalam diri mereka sendiri.” (Ar-Ra’d:11)

“Adakah orang yang mengetahui bahwasanya apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu benar sama dengan orang yang buta? Hanyalah orang-orang yang berakal saja yang dapat mengambil pelajaran. (Yaitu) orang-orang yang memenuhi janji Allah dan tidak merusak perjanjian. Dan orang-orang yang sabar kerana mencari ridha Tuhannya, mendirikan shalat, dan menafkahkan sebagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan serta menolak kejahatan dengan kebaikan; orang-orang itulah yang mendapat tempat kesudahan (yang baik). (Yaitu) surga ‘Adn yang mereka masuk ke dalamnya bersama-sama dengan orang-orang yang shalih dari bapak-bapaknya, istri-istrinya dan anak cucunya, sedang malaikat-malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari semua pintu. (Sambil mengucapkan) , ‘Salamun ‘alaikum bima shabartum (keselamatan atasmu berkat kesabaranmu) ,’ maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu.” (Ar-Ra’d: 19-24)


Wahai Akhi, Anda mendapati bahwa akhlak-akhlak mulia bertebaran dalam kitab Allah swt. dan bahwa ancaman bagi akhlak-akhlak tercela sangatlah keras.

“Dan orang-orang yang memutuskan apa-apa yang Allah perintahkan supaya dihubungkan dan mengadakan kerusakan di bumi, orang-orang itulah yang memperoleh kutukan dan bagi mereka tempat kediaman yang buruk (Jahanam).” (Ar-Ra’d: 25)



Inilah peraturan-peraturan tersebut, sebenarnya, peraturan-peraturan itu lebih tinggi daripada yang dikenal oleh manusia, kerana di dalamnya terkandung semua yang dikehendaki manusia untuk mengatur urusan masyarakat.



Saudara & saudari tercinta, hendaklah Anda semua menjalin hubungan dengan kitab Allah. Bermunajatlah kepada Tuhan dengan kitab Allah. Hendaklah masing-masing dari kita memperhatikan prinsip-prinsip dasar yang telah saya sebutkan ini, kerana itu akan memberikan manfaat yang banyak kepada kita. Insya Allah kita akan mendapatkan manfaat darinya.



Buat akhirnya, kuntuman salawat dan salam dilimpahkan kepada Sayidina Muhammad dan kepada segenap keluarga dan sahabatnya.

Wednesday, 28 July 2010

LELAKI SEJATI

Ketika zaman khalifah Umar bin Khattab, ada seorang pemuda yang mengharungi padang pasir untuk menunai umrah di Tanah Suci Mekah. Pemuda itu tiba di sebuah oasis di pinggir sebuah kampung. Ia berhenti untuk berehat. Oleh sebab keletihan, pemuda itu lalu tertidur.


Ketika pemuda itu tidur , tali pengikat untanya terlepas. Dan unta itu, merayau mencari makan karena kelaparan. Unta itu masuk ke sebuah kebun yang subur tidak jauh dari tempat itu. Penjaga kebun itu adalah seorang lelaki tua. Unta yang kelaparan memakan dan merosakkan tanaman kebun itu.


Lelaki tua penjaga kebun itu berusaha mengusir unta tersebut. Namun sang unta itu tidak mahu berganjak dari tempatnya. Karena panik dan takut dimarahi tuannya, lelaki tua memukul unta itu sekuat-kuat hatinya. Dan atas kehendak Allah, unta itu mati. Lelaki tua itu semakin panik dan cemas, apalagi pemuda pemilik unta itu telah terbangun dan mendapati untanya telah mati.


Disebabkan tidak ada orang lain selain dari lelaki tua itu, pemuda itu menuduh lelaki tua tersebut sebagai pembunuh untanya. Dan ternyata tuduhan itu benar. Pemuda itu berasa sungguh marah. Dia memukul lelaki tua itu dengan cemeti. Pukulan demi pukulan hinggap di tubuh lelaki tua tersebut dan akhirnya membawa maut.


Pemuda itu tersedar dari kemarahannya dan menyesal akan perbuatannya. Dia tidak berniat untuk membunuh lelaki tua itu. Tiba-tiba muncul dua orang pemuda. Mereka ialah anak-anak lelaki tua tersebut. Alangkah terkejutnya mereka apabila mendapati ayah mereka telah mati dan di tempat itu hanya ada si pemuda tersebut. Akhirnya tahulah mereka, bahwa ayah mereka telah dibunuh oleh si pemuda itu. Mereka lalu menangkap si pemuda dan mengheretnya ke hadapan khalifah Umar untuk diadili.


Sang pemuda mengakui perbuatannya dan Umar pun menjatuhi hukuman mati ( Qishash) ke atasnya. Namun, sang pemuda minta tangguh untuk dihukum kerana dia perlu memberi tahu keluarganya dan menyelesaikan hutangnya yang masih tertunggak di kampungnya. Khalifah Umar bersedia mengabulkan permintaaan pemuda itu dengan syarat ada yang sanggup menjadi penjaminnya.


Pemuda itu cemas dan bimbang. Siapa yang ingin menjadi penjaminnya? Dia tidak punya kenalan dan kerabat di daerah itu. Bagaimana mungkin akan ada orang asing yang sanggup mempertaruhkan nyawa untuk menjadi penjaminnya. Tiba-tiba ada seorang lelaki mengangkat tangan dan berkata kepada khalifah Umar, "Wahai Amirul Mu'minin, saya bersedia menjamin pemuda ini." Khalifah Umar terperanjat. Beliau mendapati lelaki itu tidak lain dan tidak bukan ialah Abu Dzar Al Ghiffari ra. Khalifah Umar berkata dengan nada serius, "Abu Dzar, sedarkah kamu akan risiko yang bakal kamu hadapi dengan menjadi penjamin pemuda ini?" Dengan tegas Abu Dzar menjawab, "Ya saya sedar. Saya bersedia menanggung risikonya." Umar lalu berkata kepada pemuda itu, "Hai anak muda, kau telah memiliki penjamin. Sekarang pulanglah. Selesaikan urusanmu dan segera kembali ke sini untuk menjalani hukumanmu."


Pada hari yang telah ditentukan, orang ramai berkumpul sejak awal pagi di lokasi di mana hukuman mati itu akan dilaksanakan. Hari semakin panas, siang semakin terik, tetapi pemuda itu belum nampak batang hidungnya. Ketika hari menjelang petang, pemuda itu belum juga datang. Orang ramai riuh membicarakan tentang kebodohan Abu Dzar yang bersedia menjadi penjamin orang asing yang tidak dikenalinya. Mereka juga cemas, jika sampai matahari tenggelam dan pemuda itu belum juga datang, maka Abu Dzar harus menggantikan tempat pemuda itu untuk dipancung.


Namun, Abu Dzar tetap tenang. Dengan rasa tawakal yang tinggi kepada Allah, dia menunggu detik-detik matahari berlabuh di ufuk barat. Akhirnya matahari pun tenggelam. Hukuman itu harus dijalankan. Dengan tenang Abu Dzar maju ke pentas. Tukang pancung telah bersiap sedia. Ramai yang menangis melihat Abu Dzar akan dihukum mati untuk dosa yang tidak dilakukannya.


Ketika tukang pancung sudah mengangkat tangannya dengan pedang yang terhunus, sedia untuk memenggal leher Abu Dzar, seorang penduduk berteriak. Dia melihat di kejauhan ada bayangan dan kepulan debu. Itu tandanya ada sesuatu yang datang. Semua menoleh ke arah bayangan itu termasuk Khalifah Umar bin Khatab ra.


Bayangan itu semakin dekat. Dan ternyata yang datang adalah pemuda itu. Semua orang merasa takjub dan terharu. Mereka menyangka pemuda itu telah memungkiri janji dan melarikan diri. Dengan termengah-mengah pemuda itu meminta maaf atas kelewatannya karena ada halangan di pertengahan jalan. Khalifah Umar bertanya," Wahai pemuda, aku kagum padamu. Kenapa engkau memilih untuk datang padahal kau boleh saja melarikan diri dari hukuman mati ini?'


Pemuda itu menjawab, "Wahai amirul Mu'min, aku tidak mahu nanti ada yang mengatakan bahawa tidak ada lagi lelaki sejati di kalangan umat muslim yang berani bertanggungjawab atas perbuatannya. Bagaimana mungkin aku sanggup membiarkan orang lain yang tidak bersalah, yang rela menjadi penjaminku mati karena perbuatanku."


Lalu umar menoleh kepada Abu Dzar dan bertanya, "Dan kamu Abu Dzar, apa yang membuatkan kamu yakin untuk menjadi penjamin kepada pemuda asing ini dan kamu sanggup menjadi galang ganti untuk dihukum mati jika dia tidak datang?"


Abu Dzar menjawab, "Aku melakukan ini agar tidak ada yang mengatakan bahwa tidak ada lelaki sejati di kalangan umat islam yang bersedia untuk menolong saudaranya yang memerlukan pertolongan. Aku tidak merasa rugi di hadapan Allah. Kalau pemuda itu tidak datang dan aku harus mati menggantikannya, maka kematianku adalah syahid di jalan Allah, karena aku memang tidak bersalah."


Umar bin Khatab ra diliputi rasa kagum dan terharu. Dia lalu memutuskan untuk segera menjalankan hukuman pancung tersebut sebelum habis waktu solat maghrib. Tiba-tiba ada yang berteriak, "Tunggu wahai Amirul Mu'minin, bolehkah kami meminta agar pemuda ini dibebaskan dari hukuman mati?" Rupanya yang berteriak itu adalah anak-anak kepada lelaki tua yang tebunuh itu. Umar menjawab, "Apa yang membuat kamu meminta pembatalan hukuman ini?"


Mereka menjawab, "Sungguh kami kagum dengan dua lelaki sejati ini. Izinkan kami memaafkan pemuda yang soleh dan jujur ini. Kami tidak ingin ada yang mengatakan bahwa di kalangan umat islam tiada lelaki sejati yang memaafkan kesalahan. Bukankah Al Quran membolehkan ahli waris untuk memberi maaf dan membatalkan Qishash pada seorang yang melakukan pembunuhan? Kami rasa pemuda soleh ini pantas untuk kami maafkan."


Seketika itu juga bergemuruh bunyi takbir dan tahmid. Seluruh masyarakat yang menyaksikan peristiwa itu takjub. Mereka terharu menyaksikan tingginya akhlak dalam jiwa lelaki-lelaki sejati yang berjiwa satria itu.

Tuesday, 27 July 2010

ANTARA SALAH LAKU ANAK DAN HUKUMAN

“Siapa pecahkan pinggan ini?” si ibu menjerit.

Anak-anaknya yang berderet itu membatukan diri.

Mustahil ada yang mahu mengaku.

“Siapa buat? Kak Long? Angah? Siapa yang buat?” si ibu yang sedia letih itu melempiaskan amarahnya.

Kak Long, Angah, Achik, semua mereka mendiamkan diri. Jantung masing-masing berdegup kencang.

Ibu yang keletihan mencari pesalah, akhirnya mengambil jalan mudah. Ketiga-tiga anaknya dihukum. Mereka dicubit seorang demi seorang.

“Yang bersalah tidak mengaku. Yang tahu siapa yang bersalah bersubahat tidak mahu memberitahu. Semua salah!” ibu cuba melogikkan tindakannya menghukum mereka bertiga.


JERITAN BIASA

Jeritan itu adalah jeritan yang biasa kita dengar di rumah.

Mungkin rumah orang, mungkin rumah kita.

Apabila berlaku sahaja sesuatu yang tidak kena, soalan yang spontan keluar, “siapa yang bersalah?”

Soalan seperti ini melayangkan mesej yang jelas bahawa ia akan berakhir dengan hukuman. Sama ada kesemua mereka mengambil tindakan mendiamkan diri, atau mereka mungkin segera saling menunding jari. Kita sebagai ibu bapa yang terkeliru, enggan malu kerana gagal menyelesaikan puzzle itu, lalu mengambil jalan mudah menghukum mereka semua.

Kebijaksanaan kita sebagai orang dewasa, menerbitkan pelbagai alasan untuk menjustifikasikan keadaan.

Namun tahap pemikiran anak-anak hanya berakhir dengan kesimpulan-kesimpulan yang membinasakan.

Mereka saling bermusuhan, saling salah menyalahkan, malah belajar menipu kerana terdesak mengendalikan rasa takut yang berlaku.

PRIMUM NON NOCERE

Situasi ini mengingatkan saya kepada satu ungkapan yang sering disebut oleh ahli psikologi malah para doktor di Wad Kecemasan. Kata mereka, “Primum non nocere!” Maksudnya ialah “paling penting, jangan memudaratkan!”

Apa-apa sahaja yang berlaku, pastikan tindakan yang mahu diambil jangan memudaratkan. Ada kalanya, dalam kes-kes di hospital adalah lebih baik untuk tidak memberikan rawatan, berbanding bertindak sesuatu yang mencetuskan mudarat ke atas pesakit. Ia adalah etika perubatan yang penting.

Sama juga halnya dalam proses mendidik anak-anak.

Apa-apa tindakan yang mahu diambil, pastikan jangan ia berakhir dengan kemudaratan. Tatkala kita gagal memutuskan tindakan paling tepat, amat malang jika tindakan kita tidak melontarkan mesej yang betul, sebaliknya menyemai rasa benci dan mahu membalas dendam.

Saya sendiri pernah bertemu dengan anak remaja yang berkhayal mahu terbabit dalam upacara pengebumian bapanya, untuk kepuasan diri!

PSIKOLOGI PENUMBUK

“Aah, ustaz. Saya tak makanlah cadangan-cadangan ustaz. Bagi saya, ini dia namanya psikologi!” kata seorang lelaki sambil menggenggam penumbuk di tangannya.

“Anta technician elektrik, kan?” saya bertanya.

“Ya. Saya jaga bahagian komputer-komputer di makmal kampus ini!” katanya.

“Kalau komputer rosak, anta guna ke penumbuk itu sebagai psikologi untuk memperbaikinya?” saya melontar soal.

“Mana boleh. Komputer mesti diperbaiki mengikut manual” jawabnya tegas. Menghormati profesyennya sendiri.

“Habis kalau anak bermasalah, apakah tiada manualnya lalu diperbaiki hanya dengan penumbuk itu?” saya menyudahkan soalan.



Sepi.

Beliau diam.

Saya pun diam.

Saya bukan marahkan lelaki itu.

Saya marahkan diri saya sendiri. Seorang bapa yang semakin bertambah anak, semakin anak membesar, semakin hilang kepercayaan kepada manual membetulkan tingkah laku anak-anak. Mahu mencari penyelesaian segera. Penyelesaian yang sering berakhir dengan kemudaratan. Anak tidak belajar sesuatu, sebaliknya menambah dendamnya terhadap kita yang semakin gagal menangani dia.

Bukan kerana buruk niat dan tujuan.

Tetapi kerana tiada kemahiran.

Kemahiran yang tidak datang sendiri. Kemahiran yang mesti dipelajari. Dari semasa ke semasa.

CIKGU JATUH

Puan Sabariah adalah guru senior di sebuah sekolah.

Orangnya berhemah. Tidak pernah menjatuhkan harga diri.

Tetapi hari itu dia tergelincir dan jatuh terlentang di depan kelas.

Sakitnya bukan kepalang.

Tetapi sakit hatinya berganda-ganda lagi apabila murid-murid mentertawakan dia.

Puan Sabariah bangun perlahan-lahan dan kemudian berdiri tegak membetulkan diri.

“Itu pelajaran pertama saya kepada awak hari ini. Sesiapa sahaja dalam hidup ini boleh jatuh dalam kehinaan, tetapi dia mampu bangkit dan berdiri teguh semula!” katanya dengan penuh hemah dan ketegasan.

Kelas sepi.

Ulasan itu sangat berhikmah.

Puan Sabariah menunjukkan betapa ketawa anak muridnya tidak mampu dibersihkan dengan tengkingan atau kemarahan. Sebaliknya dengan sedikit kesabaran, dia membetulkan keadaan dengan kebijaksanaan. Dengan hikmah.

Hikmah yang kita perlukan sebagai ibu dan bapa dalam mendidik anak-anak.

HIKMAH KENABIAN

Semasa bapa saudara kepada Abu Rafi ibn Amr al-Ghifari seorang anak kecil, beliau gemar membaling batu ke pokok-pokok tamar kaum Ansar.

Budak itu dibawa mengadap Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Beliau takut. Bimbang dihukum oleh Baginda.

“Wahai budak, mengapa kamu membaling batu ke pokok-pokok tamar itu?” Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam bertanya.

“Saya membaling batu ke pokok-pokok tamar itu kerana mengharapkan buah tamar gugur dan saya boleh memakannya” jawab budak itu.

Jujur.

Bukan jahat, tetapi bingung pada usianya.

“Jangan baling batu ke pokok-pokok tamar. Tetapi makan sahajalah apa-apa yang sudah (ranum dan) gugur di bawahnya” nasihat Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Lalu Baginda mengusap kepala budak itu sambil berdoa, “Ya Allah, kenyangkanlah budak ini”

Baginda sentiasa demikian.

Konsisten.

Mempamerkan bahawa komunikasi efektif adalah cara terbaik pada membetulkan keadaan.

Jauh dari hukuman yang jarang-jarang sekali menawarkan penyelesaian.

SALING MEMBERANAKKAN

Salah laku dan hukuman bukan antonim yang saling membatal dan menyelesaikan. Malah kedua-duanya memberanak dan menyuburkan lagi antara satu sama lain. Salah laku memberanakkan lebih banyak hukuman semberono. Hukuman semberono membanyakkan lagi salah laku. Hukuman yang tidak tepat tidak menyelesaikan masalah, sebaliknya ia mengajar anak-anak untuk lebih bijak dan licik melepaskan diri.

Siapa kata mendidik anak mudah?

Pastinya, saya tidak pernah berani berkata begitu.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

SELAMAT ULANGTAHUN KELAHIRAN

Assalamualaikum...

Selamat menyambut ulangtahun pertama buat anak ummi tersayang Siti Syafiah dan suami tercinta pada hari yang sama 28 Julai 2010..

Sesungguhnya 2 orang insan tersayang di sisi ummi ini sangat2 membahagiakan ummi..

Semoga kebahagiaan kita bersama pada hari ini dan hari-hari seterusnya sentiasa Allah swt izinkan. Amin..

MENCARI ILMU KEIBUBAPAAN

Assalamualaikum..

Hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan dalam tak sedar anak-anak saya sudah semakin membesar.. Masih baru lagi rasanya saya menukarkan status daripada hidup membujang, berkahwin dan seterusnya menjadi seorang ibu.. Terasa cepat betul masa berlalu.. Dan semoga ada permulaan dan kesudahan yang baik bagi setiap hari yang mendatang.

Fenomena pada hari ini, jika dilihat ramai ibu bapa telah mengambil sikap lepas tangan setelah menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Saya harap, ianya tidak berlaku dalam kehidupan saya dan begitu juga dalam kehidupan pembaca semua. Sebenarnya kita perlu memberi didikan terlebih dahulu kepada anak-anak kita sebelum mereka masuk ke alam persekolahan. Malah, setelah anak-anak memasuki alam persekolahan pun kewajipan sebenar mendidik anak adalah terletak di bahu ibu dan bapa.

Anak merupakan aset kita, kita yang seharusnya wajib mendidik mereka dan bukannya terletak 100% di bahu guru-guru di sekolah. Sekiranya kita mengabaikan perkara ini, besar kemungkinan perkembangan anak-anak kita tidak menepati 100% seperti yang kita harapkan. Dalam mendidik anak terdapat elemen-elemen yang perlu diterapkan dalam diri mereka. Namun begitu elemen terpenting adalah perhatian dan kasih sayang. Kedua-dua elemen ini tidak akan dapat diberikan oleh guru-guru di sekolah walaupun mereka telah cuba sehabis baik mendidik anak-anak kita.

Jadi di sinilah peranan ibu bapa. Selain memberi pendidikan di rumah ibu bapa boleh menerapkan elemen-eleman kasih sayang dalam jiwa anak-anak supaya mereka membesar dengan 'ramuan' yang mencukupi untuk menjadikan diri mereka seimbang dalam pelbagai aspek kehidupan.

Tetapi saya akui dalam kesibukan dengan pekerjaan adakalanya saya terabaikan satu perkara yang dituntut oleh Allah s.w.t iaitu mendidik anak-anak dengan baik.

Disebabkan itu dalam Islam, kita perlu mendalami ilmu agama dan rumah tangga sebelum mendirikan rumah tangga. Walaupun ilmu tersebut sedikit ada, tapi bila kita tidak menggunakannya dalam kehidupan seharian kita ilmu tersebut akan pudar sedikit demi sedikit.(Pesanan buat diri saya dan pembaca semua carilah ilmu sebanyak-banyaknya dan manfaatkan ilmu tersebut dengan sebaik-baiknya.)

Jadi sebagai seorang ibu atau bapa adalah wajar untuk kita sentiasa menambah pengetahuan tentang ilmu mendidik anak.


Kita hanya mampu merancang dan berusaha, namun tuhan yang menentukan segalanya. Tetapi sebagai ibu dan bapa kita perlu mencorak masa depan anak kita dengan memberikan bahan-bahan atau ilmu-ilmu yang bermanfaat supaya boleh menjadikan mereka insan yang berguna kepada agama dan negara pada masa hadapan.. Semoga kita dapat bersama-sama membentuk diri dan sahsiah anak-anak kita supaya dapat menjadi insan yang berilmu, bertakwa, cemerlang dan gemilang pada masa hadapan.

10 Langkah-Langkah untuk Menghidupkan Majlis Ta’lim di Rumah

By Ummu Solihin · Thursday, July 22nd, 2010


Saya dapat rasakan..bahang kehangatan semangat ibu-ibu dan bapa-bapa di luar sana yang tidak sabar lagi untuk menghidupkan MAJLIS TA’LIM di rumah masing-masing. Subhanallah!! Semoga Allah swt terima niat suci murni ibu-ibu dan bapa-bapa semua….

Sebelum saya meneruskan penulisan saya, mari kita imbas kembali sebab-sebab mengapa kita mahu hidupkan majlis ta’lim di rumah kita? Apabila kita tahu sebab dan keperluannya, maka kita akan lebih bersungguh-sungguh untuk menghidupkannya. InsyaAllah.

Antara sebab-sebab nya ialah…
Kerana kita semua mahu rumah kita dikunjungi oleh para malaikat, dikurniakan oleh Allah swt dengan taufiq & hidayah, rahmat akan turun mencurah-curah ke atas rumah kita, dan sakinah (ketenangan) akan menyusup masuk ke dalam setiap jiwa ahli keluarga kita.

Apabila rumah kita hidup dengan amalan agama seperti majlis ta’lim, maka segala amalan buruk, kegelapan, ketegangan akan djauhkan daripada rumah kita. Amalan ini akan membawa “nur” kepada rumah kita dan kesannya, kehidupan suami, isteri dan anak-anak akan bahagia. InsyaAllah.
Jadi, sekarang sudah jelas bagi kita bahawa, bukan ahmad, aminah, aunty siew mei atau uncle siva yang memerlukan majlis ta’lim ini..bahkan, KITA dan KELUARGA kita lah yang sangat-sangat memerlukan majlis ta’lim ini.

Jadi sekarang, bagaimana caranya untuk menghidupkan majlis ta’lim di dalam rumah kita?
Adakanlah mesyuarat bersama suami atau isteri agar kedua-duanya memahami betapa penting dan mulianya menghidupkan majlis ta’lim di rumah kita.

Tentukan waktu untuk majlis ta’lim. Waktu yang terbaik untuk ta’lim adalah adalah apabila semua ahli keluarga boleh berkumpul pada waktu itu.

Katakan, waktu ta’lim telah diputuskan pada pukul 9 malam; maka semua orang di dalam rumah kita, baik yang sedang basuh pinggan, baca suratkhabar atau buat kerja sekolah, perlu menghentikan aktiviti masing-masing dan berkumpul untuk majlis ta’lim.

Tentukan tempat atau ruang yang khas untuk diadakan majlis ta’lim. Sebaik-baiknya, ta’lim diadakan di tempat dan waktu yang sama secara istiqamah kerana malaikat-malaikat akan menunggu kedatangan ibu-ibu sekeluarga pada setiap hari di tempat yang sama, insyaAllah.

Bawa adab-adab duduk di dalam majlis dengan sempurna, seperti duduk iftirasy, menutup aurat, mendengar dengan tawajuh dll (akan saya kongsikan lebih lanjut tentang perkara ini)
Memperdengarkan bacaan sebuah buku. Buku yang dicadangkan ialah kitab Fadhail A’mal (Kelebihan-kelebihan amal), karangan Maulana Muhammad Zakariya dan Muntakhab Hadis (Hadis-hadis Terpilih) oleh Maulana Muhammad Yusof. Kedua-dua kitab ini mempunyai roh kerohanian yang sangat tinggi kerana “nur” daripada ayat-ayat Quran dan hadis-hadis yang telah dipilih, serta tafsiran dan kupasan yang dibuat dengan begitu baik & teliti oleh seorang ulama yang mempunyai jiwa kerohanian yang sangat tinggi.

InsyaAllah, jika ada kelapangan, saya akan review kedua-dua buku tersebut.
Bacalah kitab-kitab ini secara bergilir-gilir. Katakan, hari isnin, Fadhail A’mal dan hari Selasa pula Muntakhab Hadis.

Kemudian, bacalah 1 atau 2 hadis bagi setiap bab setiap hari. Contohnya; 2 hadis daripada fadhilat solat, 1 hadis daripada fadhilat Al Quran dsb
Ibubapa dan anak-anak boleh bergilir-gilir untuk membacakan kitab tersebut. Beri peluang kepada semua ahli keluarga untuk menyampaikan dakwah.

Pastikan, tiada huraian yang dibuat oleh si pembaca. Ini kerana, untuk mengelakkan sebarang kesilapan dalam mafhum ayat Quran atau hadis, dan juga untuk menggalakkan setiap ahli keluarga (baik yang belajar aliran agama atau engineering) boleh dan mampu untuk melaksanakan tugas dakwah.

Adakan majlis taklim sekurang-kurangnya dalam masa 30 minit pada setiap hari.
InsyaAllah, sama-samalah kita berazam untuk menghidupkan majlis ta’lim di dalam rumah kita, kerana majlis ini merupakan satu sunnah Rasulullah saw.

Pada zaman sahabat-sahabat r.ahum, setiap kali mereka pulang ke rumah setelah menghadiri majlis ta’lim Rasulullah saw di masjid, mereka akan adakan pula majlis ta’lim bersama ahli keluarga di rumah, untuk menyampaikan apa yang telah mereka dengar dan belajar daripada Rasulullah saw kepada isteri dan anak-anak mereka.

Indahnya kehidupan dalam rahmat, ketenangan dan keampunan daripada Allah swt….. Semoga Allah swt memberikan taufiq dan hidayah buat saya untuk istiqamah dalam menghidupkan majlis ta’lim di rumah.

Monday, 19 July 2010

Cara Mendidik Anak-anak Menguruskan Wang

Kanak-kanak lebih banyak belajar dengan memerhati daripada melakukan apa yang disuruh. Oleh sebab itu, sebagai ibu bapa, tindakan kita memberi kesan yang mendalam dan kita perlu berhati-hati agar tindak tanduk kita tidak bercanggah dengan apa yang kita katakan.

Masa berlalu begitu pantas. Alisa kini sudah hampir berumur dua tahun. Apabila kita begitu sibuk dengan keluarga, kerjaya dan hidup kita, kita tidak sedar peredaran masa. Adam dan Aida telah menyesuaikan diri dengan gaya hidup baru mereka sebaik mungkin. Namun kadang kala mereka masih merasa tersepit di antara keluarga dan kerjaya. Mereka beruntung kerana ibu bapa Adam sudi menjaga Alisa sewaktu mereka bekerja.. Bukan semua ibu bapa yang bekerja bertuah seperti mereka. Ramai yang perlu menghantar anak mereka ke pusat jagaan kanak-kanak atau meninggalkan mereka dengan pembantu rumah.

Menjaga kanak-kanak perlukan sepenuh perhatian. Malah tugas ini mungkin sama besar tekanannya, dan dalam sesetengah keadaan, lebih banyak cabarannya daripada kerja biasa. Seseorang ibu bapa sepenuh masa mempunyai dekripsi kerja seperti ini; menyediakan sarapan dan seragam, memastikan anak-anak makan sarapan yang disediakan, menyediakan bekal, menghantar mereka ke sekolah, setelah itu berkejar pulang untuk membasuh kain baju pula. Selepas menyidai kain baju, ke pasar, bergesa-gesa pulang dan setelah menyimpan barangan yang dibeli, mula menyediakan makan tengah hari untuk anak. Tidak lama selepas selesai memasak, tiba pula masa untuk menjemput mereka di sekolah dan cepat-cepat pulang ke rumah dan memberi mereka makan tengah hari dan memastikan mereka membuat kerja sekolah. Usai menggosok, mengemaskan katil mereka pula, menyedut habuk, menyapu dan mengelap lantai dapur. Selesai semua tugas itu, tiba pula masa menyiapkan makan malam dan menghidangkannya, membasuh pinggan mangkuk, memandikan anak-anak dan memastikan mereka tidur tepat pada waktunya. Aduhai... tidak hairanlah banyak pusat jagaan kanak-kanak dan agensi pengambilan pembantu rumah tumbuh bagai cendawan di musim hujan?!

Di sinilah punca masalah. Dalam ekonomi yang mencabar pada hari, keluarga yang mana kedua-dua suami isteri bekerja adalah sesuatu yang biasa. Beban kerja yang berat dan gaya hidup yang penuh tekanan menyebabkan ibu bapa ini sering pulang dalam keadaan yang amat letih dan tidak punya banyak masa untuk dihabiskan secara berfaedah dengan anak-anak. Ada di antara mereka yang hanya berjumpa anak mereka pada hujung minggu. “Ibu bapa hujung minggu” ini menurut segala kemahuan anak mereka selagi mampu. Mungkin keadaan ini dicetuskan oleh perasaan bersalah kerana mereka tidak dapat meluangkan masa dengan anak-anak. Jadi mainan dan barangan sepertinya menjadi penebus. Apa yang mereka lakukan ini mencetuskan pandangan yang salah terhadap wang dalam diri anak-anak. Pada hakikatnya, kanak-kanak mempunyai konsep berbeza tentang wang dalam fikiran mereka. Mereka tidak perlu bekerja mencari wang, jadi pandangan mereka terhadap wang berbeza dengan pandangan orang dewasa. Bagi kanak-kanak, wang itu sentiasa ada – seperti tumbuhan yang melata. Kerana itulah kita perlu melihat wang melalui kaca mata anak-anak sewaktu mendidik mereka tentang wang; bukan hanya memberi mereka wang tanpa batasan!

Adam dan Aida telah meletakkan Alisa dalam jagaan datuk dan neneknya sewaktu mereka bekerja. Cara ini memang lebih baik berbanding meninggalkan mereka dalam jagaan pembantu rumah asing. Namun cara ini ada juga tidak baiknya. Ramai datuk dan nenek suka “memanjakan” cucu-cucu mereka. Contohnya, Adam dan Aida mungkin hanya benarkan Alisa makan aiskrim pada hujung minggu dan tidak benarkan dia menonton televisyen pada waktu siang. Datuk dan neneknya pula mungkin “tidak begitu tegas”. Oleh sebab itu, apabila tiba masa mengajar Alisa tentang kewangan, kedua-dua ibu bapa dan datuk nenek perlu sehati mendidik anak dan cucu mereka dan tidak mengajar perkara yang bercanggah di antara satu dengan yang lain.

Jadi bagaimanakah cara yang sepatutnya mereka mengajar Alisa tentang kewangan? Terdapat kata-kata hikmat yang berbunyi: latihlah kanak-kanak dengan cara yang sepatutnya, apabila dia dewasa dia akan sentiasa menuruti jalan yang betul. Di bawah ini disenaraikan beberapa garis panduan berdasarkan peringkat umur yang boleh kita gunakan untuk mendidik kanak-kanak tentang nilai wang.


Peringkat pra-sekolah

Peringkat umur ini tidak terlalu awal untuk mula menyemaikan amalan terbaik dari segi kewangan. Apabila mereka telah memahami apa itu wang dan mula menerima dan menggunakannya, mereka sudah bersedia untuk dididik tentang pra belanjawan. Pra-belanjawan ini hendaklah diajar secara mudah supaya kanak-kanak dapat membahagikan wang mereka kepada beberapa kategori berlainan.

Ibu bapa boleh bermula dari peringkat awal lagi dengan menyediakan tiga tabung duit: satu untuk Berian (amal), satu untuk Tabungan, dan yang akhir sekali untuk Belanja. Elaun dan hadiah-hadiah anak-anak kemudiannya dibahagikan (misalan “duit raya” atau “angpow”) kepada tiga bahagian sama rata dan minta mereka memasukkan ketiga-tiga amaun sama ini ke dalam setiap tabung duit.

Duit yang dimasukkan dalam “Bank Amal” akan diguna untuk bantu mereka yang serba kekurangan. Misalan, anda terbaca tentang kejadian gempa bumi di suatu pelosok dunia atau bencana tsunami yang melanda di pelosok lain dan mangsa-mangsanya merayu bantuan dana. Ataupun artikel akhbar yang mengisahkan tentang bayi atau kanak-kanak dengan jantung berlubang yang memerlukan bantuan ribuan ringgit untuk menjalani pembelahan. Ini akan mendidik kanak-kanak bukan sekadar menyedari nilai sebenar wang malah juga bersikap prihatin membantu mereka yang menerima musibah.

Duit dalam “Bank Belanja” digunakan untuk membeli barangan yang kanak-kanak inginkan dan tidak sepatutnya dibeli oleh ibu bapa mereka. Ini termasuklah permainan kecil, gula-gula, coklat dan sebagainya. Walau bagaimanapun, mereka perlu faham bahawa apabila duitnya habis, mereka tidak boleh mengambil duit daripada tabung duit ‘berian’ atau ‘tabungan’ untuk beli barangan yang mereka mahu.

Duit dalam ‘Bank Tabungan’ pula adalah bagi tujuan mencapai sasaran jangka pendek yang tertentu. Misalannya menabung untuk beli kereta kawalan jauh atau patung Barbie atau untuk beli hadiah istimewa buat hari jadi ayah dan ibu yang tersayang.


Peringkat sekolah rendah

Apabila kanak-kanak mencapai umur 7 tahun, mereka sepatutnya sudah bersedia untuk menyediakan belanjawan mini. Dengan belanjawan mini ini, perbelanjaan dan pendapatan hendaklah dicatatkan dalam sebuah buku nota kecil. Kita asingkan "Bank Tabungan" kepada Tabungan Jangka Pendek dan Tabungan Jangka Panjang dan ajar anak-anak cara merekodkan perbelanjaan mereka.

Tabungan Jangka Pendek digunakan untuk beli barangan yang memerlukan mereka menabung bagi tempoh kurang daripada setahun sementara Tabungan Jangka Panjang untuk beli barangan yang memerlukan mereka menabung bagi tempoh menjangkaui setahun. Misalan, mereka mungkin mahu membeli mainan video dan kita boleh menasihati mereka menabung untuknya dan kita akan bayar kos selebihnya atau membuat ”sumbangan yang sepadan" ke dalam ”Bank Tabungan Jangka Panjang” mereka”.

Belanjawan mini ini bertujuan menyemai tabiat suka mengawasi kedudukan kewangan dan tabungan mereka agar mereka dapat mencapai sasaran jangka pendek mahupun sasaran jangka panjang mereka.


Peringkat remaja

Tempoh ini adalah yang paling kritikal bagi kanak-kanak – tahun peralihan kepada peringkat dewasa. Apabila mencapai tempoh ini, mereka sudah seharusnya faham asas kewangan dan belanjawan peribadi dan sudah mengguna pakai kaedah-kaedah yang berkaitan.

Pada asasnya, sewaktu fasa ini, kita mahu memberi anak-anak lebih kuasa dalam membuat keputusan tentang kewangan mereka. Tanggungjawab yang diberikan juga lebih besar. Biar mereka sendiri merancang cara mereka membelanjakan wang dan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas akibat keputusan yang diambil. Lebih baik mereka melakukan kesilapan kecil sekarang daripada membuat kesilapan yang lebih besar di masa hadapan.
Memang benar keputusan yang diambil berbeza berdasarkan umur dan personaliti, namun, semakin banyak peluang yang diberikan oleh ibu bapa untuk anak-anak mereka membuat keputusan, semakin jelas pada mereka sama ada anak mereka sudah menjadi seorang yang berdikari dari segi kewangan.

Ibu bapa juga patut mula mengajar anak-anak mereka konsep "kerja untuk elaun" dalam tempoh ini. Cara ini adalah untuk mengajar kanak-kanak, apabila sampai ke satu tahap dalam hidup mereka, tidak ada lagi yang percuma. Wang yang dibawa pulang oleh ibu dan bapa setiap bulan adalah hasil kerja keras mereka. Ibu bapa boleh mula menerapkan konsep sebegini dengan menggaji anak-anak mereka untuk melakukan kerja-kerja di sekitar rumah sewaktu cuti sekolah dan membayar mereka gaji yang berpatutan. Mereka akan menyedari nilai sebenar wang dan akan lebih berhemat sewaktu berbelanja.


Kesimpulan

Ibu bapa bukan membesarkan anak; mereka membesarkan orang yang akan dewasa di masa hadapan. Jadi, sebagai ibu bapa, kita perlu berhati-hati menyemai sikap terpuji dan memupuknya. Jika tidak, pertumbuhannya akan terencat atau tidak menghasilkan “buah” yang diingini. Wang mungkin tidak tumbuh melata, tetapi usaha kita akan membuahkan hasil kepada anak-anak kita.

Santapan minda: Jika wang tidak tumbuh melata, mengapakah cawangan bank berselirat di merata pelosok? Hmm…

LAYARI : http://www.akpk.org.my/Articles/TahuntahunMembesar/tabid/323/Default.aspx

CINTA SEJATI SEORANG IBU TERHADAP ANAK-ANAKNYA

oleh Wahim Worley

Wanita itu sudah tua, namun semangat perjuangannya tetap menyala seperti wanita yang masih muda. Setiap tutur kata yang dikeluarkannya selalu menjadi pendorong dan bualan orang disekitarnya. Maklumlah, ia memang seorang penyair dua zaman, maka tidak kurang pula bercakap dalam bentuk syair. Al-Khansa bin Amru, demikianlah nama wanita itu. Dia merupakan wanita yang terkenal cantik dan pandai di kalangan orang Arab. Dia pernah bersyair mengenang kematian saudaranya yang bernama Sakhr :

"Setiap mega terbit, dia mengingatkan aku pada Sakhr, malang. Aku pula masih teringatkan dia setiap mega hilang dii ufuk barat Kalaulah tidak kerana terlalu ramai orang menangis di sampingku ke atas mayat-mayat mereka, nescaya aku bunuh diriku."
Setelah Khansa memeluk Islam, keberanian dan kepandaiannya bersyair telah digunakan untuk menyemarakkan semangat para pejuang Islam. Ia mempunyai empat orang putera yang kesemuanya diajar ilmu bersyair dna dididik berjuang dengan berani. Kemudian puteranya itu telah diserahkan untuk berjuang demi kemenangan dan kepentingan Islam. Khansa telah mengajar anaknya sejak kecil lagi agar jangan takut menghadapi peperangan dan cabaran.

Pada tahun 14 Hijrah, Khalifah Umar Ibnul Khattab menyediakan satu pasukan tempur untuk menentang Farsi. Semua Islam dari berbagai kabilah telah dikerahkan untuk menuju ke medan perang, maka terkumpullah seramai 41,000 orang tentera. Khansa telah mengerahkan keempat-empat puteranya agar ikut mengangkat senjata dalam perang suci itu. Khansa sendiri juga ikut ke medan perang dalam kumpulan pasukan wanita yang bertugas merawat dan menaikkan semangat pejuan tentera Islam.
Dengarlah nasihat Khansa kepada putera-puteranya yang sebentar lagi akan ke medan perang, "Wahai anak-anakku! Kamu telah memilih Islam dengan rela hati. Kemudian kamu berhijrah dengan sukarela pula. Demi Allah, yang tiada tuhan selain Dia, sesungguhnya kamu sekalian adalah putera-putera dari seorang lelaki dan seorang wanita. Aku tidak pernah mengkhianati ayahmu, aku tidak pernah memburuk-burukkan saudara-maramu, aku tidak pernah merendahkan keturuna kamu, dan aku tidak pernah mengubah perhubungan kamu. Kamu telah tahu pahala yang disediakan oleh Allah kepada kaum muslimin dalam memerangi kaum kafir itu. Ketahuilah bahwasaya kampung yang kekal itu lebih baik daripada kampung yang binasa."

Kemudian Khansa membacakan satu ayat dari surah Ali Imran yang bermaksud, "Wahai orang yang beriman! Sabarlah, dan sempurnakanlah kesabaran itu, dan teguhkanlah kedudukan kamu, dan patuhlah kepada Allah, moga-moga menjadi orang yang beruntung." Putera-putera Khansa tertunduk khusyuk mendengar nasihat bonda yang disayanginya.
Seterusnya Khansa berkata, "Jika kalian bangun esok pagi, insya Allah dalam keadaan selamat, maka keluarlah untuk berperang dengan musuh kamu. Gunakanlah semua pengalamanmu dan mohonlah pertolongan dari Allah. Jika kamu melihat api pertempuran semakin hebat dan kamu dikelilingi oleh api peperangan yang sedang bergejolak, masuklah akmu ke dalamnya. Dan dapatkanlah puncanya ketika terjadi perlagaan pertempurannya, semoga kamu akan berjaya mendapat balasan di kampung yang abadi, dan tempat tinggal yang kekal."

Subuh esoknya semua tentera Islam sudah berada di tikar sembahyang masing-masing untuk mengerjakan perintah Allah iaitu solat Subuh, kemudian berdoa moga-moga Allah memberikan mereka kemenangan atau syurga. Kemudian Saad bin Abu Waqas panglima besar Islam telah memberikan arahan agar bersiap-sedia sebaik saja semboyan perang berbunyi. Perang satu lawan satu pun bermula dua hari. Pada hari ketiga bermulalah pertempuran besar-besaran. 41,000 orang tentera Islam melawan tentera Farsi yang berjumlah 200,000 orang. Pasukan Islam mendapat tentangan hebat, namun mereka tetap yakin akan pertolongan Allah .

Putera-putera Khansa maju untuk merebut peluang memasuki syurga. Berkat dorongan dan nasihat dari bondanya, mereka tidak sedikit pun berasa takut. Sambil mengibas-ngibaskan pedang, salah seorang dari mereka bersyair,
"Hai saudara-saudaraku! Ibu tua kita yang banyak pengalaman itu, telah memanggil kita semalam dan membekalkan nasihat. Semua mutiara yang keluar dari mulutnya bernas dan berfaedah. Insya Allah akan kita buktikan sedikit masa lagi."
Kemudian ia maju menetak setiap musuh yang datang. Seterusnya disusul pula oleh anak kedua maju dan menentang setiap musuh yang mencabar. Dengan semangat yang berapi-api ia bersyair,

"Demi Allah! Kami tidak akan melanggar nasihat dari ibu tua kami Nasihatnya wajib ditaati dengan ikhlas dan rela hati Segeralah bertempur, segeralah bertarung dan menggempur mush-musuh bersama-sama Sehingga kau lihat keluarga Kaisar musnah."
Anak Khansa yang ketiga pula segera melompat dengan beraninya dan bersyair,
"Sungguh ibu tua kami kuat keazamannya, tetap tegas tidak goncang Beliau telah menggalakkan kita agar bertindak cekap dan berakal cemerlang Itulah nasihat seorang ibu tua yang mengambil berat terhadap anak-anaknya sendiri Mari! Segera memasuki medan tempur dan segeralah untuk mempertahankan diri Dapatkan kemenangan yang bakal membawakegembiraan di dalam hati Atau tempuhlah kematian yang bakal mewarisi kehidupan yang abadi."

Akhir sekali anak keempat menghunus pedang dan melompat menyusul abang-abangnya. Untuk menaikkan semangatnya ia pun bersyair,
"Bukanlah aku putera Khansa', bukanlah aku anak jantan Dan bukanlah pula kerana 'Amru yang pujiannya sudah lama terkenal Kalau aku tidak membuat tentera asing yang berkelompok-kelompok itu terjunam ke jurang bahay, dan musnah mangsa oleh senjataku."
Bergelutlah keempat-empat putera Khansa dengan tekad bulat untuk mendapatkan syurga diiringi oleh doa munajat bondanya yang berada di garis belakang. Pertempuran terus hebat. Tentera Islam pada mulanya kebingungan dan kacau kerana pada mulanya tentera Farsi menggunakan tentera bergajah di barisan hadapan, sementara tentera berjalan kaki berlindung di belakang binatang tahan lasak itu. Namun tentera Islam dapat mencederakan gajah-gajah itu dengan memanah mata dan bahagian-bahagian lainnya. Gajah yang cedera itu marah dengan menghempaskan tuan yang menungganginya, memijak-mijak tentera Farsi yang lannya. Kesempatan ini digunakan oleh pihak Islam untuk memusnahkan mereka. Panglima perang bermahkota Farsi dapat dipenggal kepalanya, akhirnya mereka lari lintang-pukang menyeberangi sungai dan dipanah oleh pasukan Islam hingga air sungai menjadi merah. Pasukan Farsi kalah teruk, dari 200,000 tenteranya hanya sebahagian kecil saja yang dapat menyelamatkan diri.

Umat Islam lega. Kini mereka mengumpul dan mengira tentera Islam yang gugur. Ternyata yang beruntung menemui syahid di medan Kadisia itu berjumlah lebih kurang 7,000 orang. Dan daripada 7,000 orang syuhada itu terbujur empat orang adik-beradik Khansa. Seketika itu juga ramailah tentera Islam yang datang menemui Khansa memberitahukan bahwa keempat-empat anaknya telah menemui syahid. Al-Khansa menerima berita itu dengan tenang, gembira dan hati tidak bergoncang. Al-Khansa terus memuji Allah dengan ucapan,

"Segala puji bagi Allah, yang telah memuliakanku dengan mensyahidkan mereka, dan aku mengahrapkan darii Tuhanku, agar Dia mengumpulkan aku dengan mereka di tempat tinggal yang kekal dengan rahmat-Nya!"
Al-Khansa kembali semula ke Madinah bersama para perajurit yang masih hidup dengan meninggalkan mayat-mayat puteranya di medan pertempuran Kadisia. Dari peristiwa peperanan itu pula wanita penyair ini mendapat gelaran kehormatan 'Ummu syuhada yang ertinya ibu kepada orang-orang yang mati syahid."

BANK SOALAN KHB

Salam

Rakan-rakan guru dan anak2 didik sekalian..

Insyallah dalam proses menyiapkan Bank2 Soalan KHB yang selama ini ada dalam koleksi peribadi..Doakan usaha ini berjaya dan dimudahkan urusan..

GURU KHB

Salam/

Pada rakan-rakan guru KHB...sila layari blog berikut untuk berkongsi info2 subjek Kemahiran Hidup Bersepadu seluruh Malaysia

http://kemahiran.wordpress.com/

PERIBADI