Kanak-kanak lebih banyak belajar dengan memerhati daripada melakukan apa yang disuruh. Oleh sebab itu, sebagai ibu bapa, tindakan kita memberi kesan yang mendalam dan kita perlu berhati-hati agar tindak tanduk kita tidak bercanggah dengan apa yang kita katakan.
Masa berlalu begitu pantas. Alisa kini sudah hampir berumur dua tahun. Apabila kita begitu sibuk dengan keluarga, kerjaya dan hidup kita, kita tidak sedar peredaran masa. Adam dan Aida telah menyesuaikan diri dengan gaya hidup baru mereka sebaik mungkin. Namun kadang kala mereka masih merasa tersepit di antara keluarga dan kerjaya. Mereka beruntung kerana ibu bapa Adam sudi menjaga Alisa sewaktu mereka bekerja.. Bukan semua ibu bapa yang bekerja bertuah seperti mereka. Ramai yang perlu menghantar anak mereka ke pusat jagaan kanak-kanak atau meninggalkan mereka dengan pembantu rumah.
Menjaga kanak-kanak perlukan sepenuh perhatian. Malah tugas ini mungkin sama besar tekanannya, dan dalam sesetengah keadaan, lebih banyak cabarannya daripada kerja biasa. Seseorang ibu bapa sepenuh masa mempunyai dekripsi kerja seperti ini; menyediakan sarapan dan seragam, memastikan anak-anak makan sarapan yang disediakan, menyediakan bekal, menghantar mereka ke sekolah, setelah itu berkejar pulang untuk membasuh kain baju pula. Selepas menyidai kain baju, ke pasar, bergesa-gesa pulang dan setelah menyimpan barangan yang dibeli, mula menyediakan makan tengah hari untuk anak. Tidak lama selepas selesai memasak, tiba pula masa untuk menjemput mereka di sekolah dan cepat-cepat pulang ke rumah dan memberi mereka makan tengah hari dan memastikan mereka membuat kerja sekolah. Usai menggosok, mengemaskan katil mereka pula, menyedut habuk, menyapu dan mengelap lantai dapur. Selesai semua tugas itu, tiba pula masa menyiapkan makan malam dan menghidangkannya, membasuh pinggan mangkuk, memandikan anak-anak dan memastikan mereka tidur tepat pada waktunya. Aduhai... tidak hairanlah banyak pusat jagaan kanak-kanak dan agensi pengambilan pembantu rumah tumbuh bagai cendawan di musim hujan?!
Di sinilah punca masalah. Dalam ekonomi yang mencabar pada hari, keluarga yang mana kedua-dua suami isteri bekerja adalah sesuatu yang biasa. Beban kerja yang berat dan gaya hidup yang penuh tekanan menyebabkan ibu bapa ini sering pulang dalam keadaan yang amat letih dan tidak punya banyak masa untuk dihabiskan secara berfaedah dengan anak-anak. Ada di antara mereka yang hanya berjumpa anak mereka pada hujung minggu. “Ibu bapa hujung minggu” ini menurut segala kemahuan anak mereka selagi mampu. Mungkin keadaan ini dicetuskan oleh perasaan bersalah kerana mereka tidak dapat meluangkan masa dengan anak-anak. Jadi mainan dan barangan sepertinya menjadi penebus. Apa yang mereka lakukan ini mencetuskan pandangan yang salah terhadap wang dalam diri anak-anak. Pada hakikatnya, kanak-kanak mempunyai konsep berbeza tentang wang dalam fikiran mereka. Mereka tidak perlu bekerja mencari wang, jadi pandangan mereka terhadap wang berbeza dengan pandangan orang dewasa. Bagi kanak-kanak, wang itu sentiasa ada – seperti tumbuhan yang melata. Kerana itulah kita perlu melihat wang melalui kaca mata anak-anak sewaktu mendidik mereka tentang wang; bukan hanya memberi mereka wang tanpa batasan!
Adam dan Aida telah meletakkan Alisa dalam jagaan datuk dan neneknya sewaktu mereka bekerja. Cara ini memang lebih baik berbanding meninggalkan mereka dalam jagaan pembantu rumah asing. Namun cara ini ada juga tidak baiknya. Ramai datuk dan nenek suka “memanjakan” cucu-cucu mereka. Contohnya, Adam dan Aida mungkin hanya benarkan Alisa makan aiskrim pada hujung minggu dan tidak benarkan dia menonton televisyen pada waktu siang. Datuk dan neneknya pula mungkin “tidak begitu tegas”. Oleh sebab itu, apabila tiba masa mengajar Alisa tentang kewangan, kedua-dua ibu bapa dan datuk nenek perlu sehati mendidik anak dan cucu mereka dan tidak mengajar perkara yang bercanggah di antara satu dengan yang lain.
Jadi bagaimanakah cara yang sepatutnya mereka mengajar Alisa tentang kewangan? Terdapat kata-kata hikmat yang berbunyi: latihlah kanak-kanak dengan cara yang sepatutnya, apabila dia dewasa dia akan sentiasa menuruti jalan yang betul. Di bawah ini disenaraikan beberapa garis panduan berdasarkan peringkat umur yang boleh kita gunakan untuk mendidik kanak-kanak tentang nilai wang.
Peringkat pra-sekolah
Peringkat umur ini tidak terlalu awal untuk mula menyemaikan amalan terbaik dari segi kewangan. Apabila mereka telah memahami apa itu wang dan mula menerima dan menggunakannya, mereka sudah bersedia untuk dididik tentang pra belanjawan. Pra-belanjawan ini hendaklah diajar secara mudah supaya kanak-kanak dapat membahagikan wang mereka kepada beberapa kategori berlainan.
Ibu bapa boleh bermula dari peringkat awal lagi dengan menyediakan tiga tabung duit: satu untuk Berian (amal), satu untuk Tabungan, dan yang akhir sekali untuk Belanja. Elaun dan hadiah-hadiah anak-anak kemudiannya dibahagikan (misalan “duit raya” atau “angpow”) kepada tiga bahagian sama rata dan minta mereka memasukkan ketiga-tiga amaun sama ini ke dalam setiap tabung duit.
Duit yang dimasukkan dalam “Bank Amal” akan diguna untuk bantu mereka yang serba kekurangan. Misalan, anda terbaca tentang kejadian gempa bumi di suatu pelosok dunia atau bencana tsunami yang melanda di pelosok lain dan mangsa-mangsanya merayu bantuan dana. Ataupun artikel akhbar yang mengisahkan tentang bayi atau kanak-kanak dengan jantung berlubang yang memerlukan bantuan ribuan ringgit untuk menjalani pembelahan. Ini akan mendidik kanak-kanak bukan sekadar menyedari nilai sebenar wang malah juga bersikap prihatin membantu mereka yang menerima musibah.
Duit dalam “Bank Belanja” digunakan untuk membeli barangan yang kanak-kanak inginkan dan tidak sepatutnya dibeli oleh ibu bapa mereka. Ini termasuklah permainan kecil, gula-gula, coklat dan sebagainya. Walau bagaimanapun, mereka perlu faham bahawa apabila duitnya habis, mereka tidak boleh mengambil duit daripada tabung duit ‘berian’ atau ‘tabungan’ untuk beli barangan yang mereka mahu.
Duit dalam ‘Bank Tabungan’ pula adalah bagi tujuan mencapai sasaran jangka pendek yang tertentu. Misalannya menabung untuk beli kereta kawalan jauh atau patung Barbie atau untuk beli hadiah istimewa buat hari jadi ayah dan ibu yang tersayang.
Peringkat sekolah rendah
Apabila kanak-kanak mencapai umur 7 tahun, mereka sepatutnya sudah bersedia untuk menyediakan belanjawan mini. Dengan belanjawan mini ini, perbelanjaan dan pendapatan hendaklah dicatatkan dalam sebuah buku nota kecil. Kita asingkan "Bank Tabungan" kepada Tabungan Jangka Pendek dan Tabungan Jangka Panjang dan ajar anak-anak cara merekodkan perbelanjaan mereka.
Tabungan Jangka Pendek digunakan untuk beli barangan yang memerlukan mereka menabung bagi tempoh kurang daripada setahun sementara Tabungan Jangka Panjang untuk beli barangan yang memerlukan mereka menabung bagi tempoh menjangkaui setahun. Misalan, mereka mungkin mahu membeli mainan video dan kita boleh menasihati mereka menabung untuknya dan kita akan bayar kos selebihnya atau membuat ”sumbangan yang sepadan" ke dalam ”Bank Tabungan Jangka Panjang” mereka”.
Belanjawan mini ini bertujuan menyemai tabiat suka mengawasi kedudukan kewangan dan tabungan mereka agar mereka dapat mencapai sasaran jangka pendek mahupun sasaran jangka panjang mereka.
Peringkat remaja
Tempoh ini adalah yang paling kritikal bagi kanak-kanak – tahun peralihan kepada peringkat dewasa. Apabila mencapai tempoh ini, mereka sudah seharusnya faham asas kewangan dan belanjawan peribadi dan sudah mengguna pakai kaedah-kaedah yang berkaitan.
Pada asasnya, sewaktu fasa ini, kita mahu memberi anak-anak lebih kuasa dalam membuat keputusan tentang kewangan mereka. Tanggungjawab yang diberikan juga lebih besar. Biar mereka sendiri merancang cara mereka membelanjakan wang dan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas akibat keputusan yang diambil. Lebih baik mereka melakukan kesilapan kecil sekarang daripada membuat kesilapan yang lebih besar di masa hadapan.
Memang benar keputusan yang diambil berbeza berdasarkan umur dan personaliti, namun, semakin banyak peluang yang diberikan oleh ibu bapa untuk anak-anak mereka membuat keputusan, semakin jelas pada mereka sama ada anak mereka sudah menjadi seorang yang berdikari dari segi kewangan.
Ibu bapa juga patut mula mengajar anak-anak mereka konsep "kerja untuk elaun" dalam tempoh ini. Cara ini adalah untuk mengajar kanak-kanak, apabila sampai ke satu tahap dalam hidup mereka, tidak ada lagi yang percuma. Wang yang dibawa pulang oleh ibu dan bapa setiap bulan adalah hasil kerja keras mereka. Ibu bapa boleh mula menerapkan konsep sebegini dengan menggaji anak-anak mereka untuk melakukan kerja-kerja di sekitar rumah sewaktu cuti sekolah dan membayar mereka gaji yang berpatutan. Mereka akan menyedari nilai sebenar wang dan akan lebih berhemat sewaktu berbelanja.
Kesimpulan
Ibu bapa bukan membesarkan anak; mereka membesarkan orang yang akan dewasa di masa hadapan. Jadi, sebagai ibu bapa, kita perlu berhati-hati menyemai sikap terpuji dan memupuknya. Jika tidak, pertumbuhannya akan terencat atau tidak menghasilkan “buah” yang diingini. Wang mungkin tidak tumbuh melata, tetapi usaha kita akan membuahkan hasil kepada anak-anak kita.
Santapan minda: Jika wang tidak tumbuh melata, mengapakah cawangan bank berselirat di merata pelosok? Hmm…
LAYARI : http://www.akpk.org.my/Articles/TahuntahunMembesar/tabid/323/Default.aspx
No comments:
Post a Comment