salam

Tuesday, 27 July 2010

MENCARI ILMU KEIBUBAPAAN

Assalamualaikum..

Hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan dalam tak sedar anak-anak saya sudah semakin membesar.. Masih baru lagi rasanya saya menukarkan status daripada hidup membujang, berkahwin dan seterusnya menjadi seorang ibu.. Terasa cepat betul masa berlalu.. Dan semoga ada permulaan dan kesudahan yang baik bagi setiap hari yang mendatang.

Fenomena pada hari ini, jika dilihat ramai ibu bapa telah mengambil sikap lepas tangan setelah menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Saya harap, ianya tidak berlaku dalam kehidupan saya dan begitu juga dalam kehidupan pembaca semua. Sebenarnya kita perlu memberi didikan terlebih dahulu kepada anak-anak kita sebelum mereka masuk ke alam persekolahan. Malah, setelah anak-anak memasuki alam persekolahan pun kewajipan sebenar mendidik anak adalah terletak di bahu ibu dan bapa.

Anak merupakan aset kita, kita yang seharusnya wajib mendidik mereka dan bukannya terletak 100% di bahu guru-guru di sekolah. Sekiranya kita mengabaikan perkara ini, besar kemungkinan perkembangan anak-anak kita tidak menepati 100% seperti yang kita harapkan. Dalam mendidik anak terdapat elemen-elemen yang perlu diterapkan dalam diri mereka. Namun begitu elemen terpenting adalah perhatian dan kasih sayang. Kedua-dua elemen ini tidak akan dapat diberikan oleh guru-guru di sekolah walaupun mereka telah cuba sehabis baik mendidik anak-anak kita.

Jadi di sinilah peranan ibu bapa. Selain memberi pendidikan di rumah ibu bapa boleh menerapkan elemen-eleman kasih sayang dalam jiwa anak-anak supaya mereka membesar dengan 'ramuan' yang mencukupi untuk menjadikan diri mereka seimbang dalam pelbagai aspek kehidupan.

Tetapi saya akui dalam kesibukan dengan pekerjaan adakalanya saya terabaikan satu perkara yang dituntut oleh Allah s.w.t iaitu mendidik anak-anak dengan baik.

Disebabkan itu dalam Islam, kita perlu mendalami ilmu agama dan rumah tangga sebelum mendirikan rumah tangga. Walaupun ilmu tersebut sedikit ada, tapi bila kita tidak menggunakannya dalam kehidupan seharian kita ilmu tersebut akan pudar sedikit demi sedikit.(Pesanan buat diri saya dan pembaca semua carilah ilmu sebanyak-banyaknya dan manfaatkan ilmu tersebut dengan sebaik-baiknya.)

Jadi sebagai seorang ibu atau bapa adalah wajar untuk kita sentiasa menambah pengetahuan tentang ilmu mendidik anak.


Kita hanya mampu merancang dan berusaha, namun tuhan yang menentukan segalanya. Tetapi sebagai ibu dan bapa kita perlu mencorak masa depan anak kita dengan memberikan bahan-bahan atau ilmu-ilmu yang bermanfaat supaya boleh menjadikan mereka insan yang berguna kepada agama dan negara pada masa hadapan.. Semoga kita dapat bersama-sama membentuk diri dan sahsiah anak-anak kita supaya dapat menjadi insan yang berilmu, bertakwa, cemerlang dan gemilang pada masa hadapan.

No comments: